Ramai orang kata membaca itu menambah ilmu pengetahuan tetapi sehingga hari ini tinggikah kesedaran masyarakat kita terhadap kepentingan meneroka ilmu menerusi pembacaan ini? Saya sebenarnya amat bersyukur kerana dikurniakan minat yang amat mendalam terhadap aktiviti membaca dan meneroka ilmu pengetahuan. Saya sangat gemar membaca kerana banyak membantu saya untuk menghasilkan artikel dan membentang kertas kerja. Bukankah membaca itu menjadikan seseorang itu yang kaya dengan rasa tahu?
Saya memiliki koleksi buku yang saya tempatkan di pejabat dan rumah. Ada yang dibeli sendiri dan ada juga yang dihadiahkan oleh kawan-kawan, tetamu, delegasi yang saya temui sama ada secara rasmi mahupun tidak rasmi. Hari ini saya ingin sekali berkongsi satu buku dengan anda.
Tajuk : Pengurusan dalam Islam Menghayati Prinsip dan Nilai Qurani
Penerbit : Akademi Pengurusan YPEIM
Tahun : 2005
Pengurusan Islami bertitik tolak daripada world view Islam, iaitu cara mempersepsi dan menyingkap segala sesuatu berasaskan petunjuk Tuhan Yang Maha Esa. Worldview dalam pengertian the way we look at things merupakan asas utama kerana bagaimana kita melihat sesuatu begitulah kita akan menyingkap dan melayaninya. Bagaimana kita mempersepsikan hidup, begitulah kita akan hidup; bagaimana kita mempersepsikan manusia, begitulah kita akan melayani manusia dan bagaimana kita mempersepsikan kerja, begitu jugalah cara kita bekerja. Kesimpulannya, kefahaman tentang world view ini dapat membina sikap yang benar, tepat dan sihat terutama terhadap pekerjaan dan segala yang berkaitan dengannya.
Worldview atau pandangan sarwa Islami ini sangat berkait rapat dengan tauhid dan selalu disebut sebagai tauhidik worldview. Faham tauhid membawa implikasi bahawa Allah satu-satunya Tuhan tumpuan rasa hormat, syukur, cinta, takut, setia, pengabdian, kebaktian, asal dan pengakhiran di samping Allah adalah satu-satunya sumber nilai, aturan, petunjuk dan ilmu.
Buku ini adalah salah satu rujukan menurut perspektif Islam yang boleh kita jadikan panduan untuk menerapkan fungsi dan peranan pengurusan mengikut landasan yang diredhai Allah s.w.t.




4 komen
Jun 25, 2009 at 1:31 pm
salam dato
maaf, ingin bertanya.
Kenapa dato keluar dari PAS?
Mungkin dato ingin kongsikan ?
Jun 26, 2009 at 3:36 pm
Saya ingin sekali menjawab pertanyaan anda. Maaf, saya agak sibuk kebelakangan ini. Insya Allah, sekiranya ada kelapangan kita boleh berkongsi maklumat itu. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.
Julai 9, 2009 at 2:41 pm
Maaf kerana sebelum ini saya tidak dapat memberi respon kepada pertanyaan anda. Saya berada di luar negara menghadiri Multaqa Alumni Al-Azhar di Mesir. Kerana kesibukan, saya tidak mempunyai masa sesuai untuk melihat komputer. Pertanyaan saudara, mungkin tidak penting lagi, kerana saya telah lama meninggalkan PAS dan tidak lagi berperanan aktif dalam politik.
Saya lebih banyak menumpukan kerja dalam NGO dan dakwah. Sejak tahun 2002, saya kurang mengambil bahagian dalam politik. Sebenarnya saya cuba menyesuaikan diri dalam politik, baik PAS atau UMNO. Tetapi kerana training saya dalam dakwah saya agak kekok berada dalam politik. Dalam PAS, saya cuba menerapkan nilai-nilai haraki dan manhaj dakwah. Tetapi antara kedua-dua bidang yakni politik dan dakwah mempunyai pendekatan dan realiti yang sangat berbeza. Ini tidak bermakna dalam dakwah tidak ada agenda politik. Namun kaedah, cara dan pendekatannya jauh berbeza dengan kaedah, cara dan pendekatan politik kepartian ala barat yang diamalkan di negara kita oleh semua parti-parti politik yang ada sama ada jenamanya bersifat kebangsaan atau Islam.
Waktu di dalam PAS saya cuba membuat beberapa perubahan menerusi ucapan-ucapan dasar presiden yang saya tulis. Antaranya yang penting ialah “Tajdid Hadhari,” dan “Menggempur Pemikiran Asabiyyah” Dua tajuk ucapan dasar presiden inilah yang saya kira penting untuk melakukan perubahan dan penyelarasan bagi meseimbangkan antara keperluan kepada pendekatan dakwah dan politik kepartian yang konvensyional. Tetapi apa yang diutarakan itu terlalu berat untuk dilaksanakan dalam PAS. Lagipun pengurusan organisasi PAS terlalu naif dan lemah. Saya telah mengemukakan kertas kerja yang menyentuh mengenai dasar-dasar yang harus diperjuangkan oleh PAS, daaripada pekara-perkara yang melibatkan soal pendidikan, alam sekitar, perindustrian dan sebagainya.
Dasar-dasar itu pun, bukan sahaja tidak mungkin dilaksAnakan, bahkan tidak mampu dibincangkan di dalam PAS pada ketika itu. Ertinya, keupayaan pengetahuan di dalam PAS, terlalu rendah. Apa yang saya gubal dan kemukakan itu adalah berdasarkan kepada prinsip-prinsip Islam dan ajaran-ajaran Islam. Timbul rasa kecewa dalam diri saya, dan tertanya, bagaimanakah akan dilaksanakan agenda Islam, apabila berkuasa, saedangkan untuk membincangkan dasar-dasar yang berkait dengan Islam, pun tidak mampu. Semata-mata ada majlis syura sahaja tidak cukup, tanpa berkeupayaan bermusyawarah berlandaskan ajaran Islam. Saya juga memperkenalkan program diolog dengan orang-orang bukan Islam, khususnya kaum Cina dan sambutan orang-orang Cina sangat menggalakkan. Usaha saya ditentang hebat, kerana takut usaha yang dijalankan itu mendapat reaksi negatif dari orang-orang Melayu. Tetapi sekarang mereka bergabung dengan parti bukan Melayu secara yang amat diragukan kerana tepaksa berdiam diri terhadap perkara-perkara prinsip. Dahulu, saya sedikitpun tidak berganjak terhadap pembentukan negara berasaskan prinsip Islam. Sekarang, mereka tidak lagi menghiraukan prinsip dan bertindak sewenangnya sahaja yang mengegrunkan akibat terlalu bertolak ansur dan menyerahkan hak-hak umat dengan mudah.
Saya tetap memperjuangkan Islam sama ada saya aktif berpolitik atau tidak. Saya keluar daripada PAS, bukan bermakna saya keluar daripada perjuangan Islam. Cuma saya berfikir bahawa PAS bukan tempat yang sesuai untuk saya berjuang menegakkan Islam.
Dalam UMNO pun saya tetap memperjuangkan Islam. Bezanya, dalam UMNO apa yang hendak dilaksanakan boleh dilaksanakan walaupun bukan semua. Bebarapa pandangan dan pendekatan saya diterima dan dilaksanakan oleh kerajaan. Saya memulakan pameran halal dan mempromosikan industri halal yang kemudaian disambut oleh kerajaan dan menjadikannya dasar negara. MIHAS yang mula dianjurkan oleh YADIM, telah diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan dan industri halal negara sedang berkembang dengan baik pada masa kini.
Saya pernah dijemput untuk menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO untuk memberikan pendapat. Dalam mesyuarat itu saya memberikan pandangan bahawa Islam tidak seharusnya dilihat dan difahami dari aspek ritualnya sahaja. Ia mestilah dilihat dan difahami juga dari aspek ketamadunannya, yang melibatkan, terutamanya kewajipan fardhu kifayah. Ajaran fardhu kifayah di dalam masyarakat kita telah disempitkan dan apabila diberikan contoh mengenainya, disebut hanya semabahayang mayat. Pada hal tanggungjawab fardhu kifayah sebenarnya ialah pembinaan tamadun, pembengunan ekonomi dan lain-lain.
Perbincangan-perbincangan yang diadakan telah melahirkan idea Islam Hadhari dan telah dijadikan pendekatan pembangunan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dasar itu masih diteruskan sehingga kini, walaupun slogan 1 Malaysia yang ditonjolkan. Menerusi Yayasan Dakwah yang saya pimpin, gerakan dakwah dilaksanakan secara aktif. Kini lebih 8,000 orang bukan Islam telah menganut agama Islam melalui kegiatan YADIM. Selama 12 tahun saya di dalam PAS tidak seorang pun bukan Islam yang menganut agama Islam melalui PAS sekadar yang saya tahu. Alhamdulillah, saya tidak menghabiskan umur saya berpolitik di dalam PAS, berpidato-berpidato, tanpa menghasilkan sebarang produk yang memberi manfaat, kecuali membina kefanatikan di kalangan ahli dan penyokong. Kekuatan yang didapati semata-mata digunakan untuk pilihanraya. Saya berada dalam keadaan lebih tenang, memimpin NGO Islam yang bergabung di bawah Majlis Amal Islami Malaysia yang disertai oleh ABIM,JIM, Hunafa, Persatuan Cina Muslim, ISMI dan lain-lain. Di waktu yang sama ,saya berusaha mengaktifkan dakwah dan menjadikan YADIM badan dakwah yang prihatin terhadap kemanusiaan dengan pengurusan yang cekap dan berkesan. YADIM kini telah mendapat pengiktirafan ISO 9001: 2000.
Ogos 4, 2009 at 4:26 pm
Saudara Ridwanto! Saya tiada halangan untuk berjumpa sesiapa pun bagi membicarakan masalah yang dihadapi umat. Apa lagi dalam keadaan umat dikhianati semata-mata untuk berebut kuasa. Kejatuhan tamadun Islam dan perpecahan di kalangan mereka, berpunca daripada perebutan kuasa sehingga sanggup mengkhianati agama dan bangsa. Gelagat politikus sekarang amat membimbangkan, justeru untuk mencapai cita-cita sendiri, umat dikorbankan. Kita seharusnya bertindak dengan sabar dan tekun untuk menyelamatkan umat.