Hala Tuju Dan Cabaran Pendidikan Alaf Baru : Persiapan Generasi Muda

Generasi muda ibarat bunga mekar yang harus dibelai supaya tidak layu dan gugur sebelum berputik menjadi buah. Mereka memerlukan belaian seimbang, tidak terlalu keras dan tidak terlalu dimanjakan, tidak terlalu lambat dibelai dan tidak pula terlalu bergopoh-gapah. Bunga mekar yang menunggu untuk berputik dan berbuah, akan gugur dan layu jika terlalu banyak hujan atau kemarau memanjang. Generasi muda tidak harus dilihat sebagai generasi tua atau dilihat sebagai kanak-kanak mentah yang segalanya perlu diatur oleh orang dewasa. Mereka harus dilihat dan difahami sebagaimana mereka sendiri. Apalagi generasi muda dari kalangan mahasiswa.

Untuk melahirkan generasi muda yang progresif dan dinamik yang berpotensi  menggerakkan jentera  Islam menuju kejayaan, mereka perlu melalui proses tarbiyyah yang cemerlang. Tarbiyyah yang mampu menumbuhkan syajarah taiyyibah (pepohon yang terbaik). Pepohon yang melahirkan seruan terbaik dan membawa mesej terbaik. “Kalimah terbaik bagaikan pepohon terbaik, tunjangnya teguh dan cabangnya menjulang di lagit. Ia dikunjungi setiap masa oleh mereka yang mahu menikmati kelazatan buahnya dengan izin Tuhannya.” Dengan tarbiyyah cemerlang, generasi ini akan muncul sebagai a seed which sends forth its blade. It then becomes thick. And it stands on its own stem.”

Tarbiyyah yang cemerlang bukan indoktrinasi yang bertujuan menjadikan generasi muda dan mahasiswa sebagai alat untuk menjulang seorang wira atau memulihkan kedudukan seorang pahlawan yang tersungkur atau menyokong sesuatu puak dan golongan bagi menjamin undi dalam perebutan kuasa politik. Tarbiyyah cemerlang adalah proses kental dan gigih bagi melahirkan insan yang berpegang teguh kepada tali Allah s.w.t. dan mendakap erat idealisme perjuangan Islam dengan kefahaman, ketaqwaan, kesedaran dan keinsafan mendalam sebagai insan mukmin yang mencari keredhaan Allah s.w.t. Insan mukmin, yang ranting dan dahan keadilan serta kebaikannya menjalar lebar menaungi setiap insan, tanpa terhalang oleh fanatisme, permusuhan dan perbezaan akidah. Hatinya sentiasa terpaut kepada arahan Tuhannya “Dan berbuat baiklah sebagaimana Allah s.w.t. berlaku baik kepada kamu dan janganlah kamu inginkan kerosakan di bumi.”

Tarbiyyah cemerlang ialah pendidikan yang tidak bersempadankan masa kini, tetapi persiapan generasi muda untuk masa hadapan. Tarbiyyah cemerlang seperti inilah yang menjadi dasar pendidikan era pemerintahan Umar Ibn Khattab yang dinyatakan dalam ucapannya, “Ajarlah anak-anak kamu untuk zaman yang bukan zaman kamu.” Justeru, generasi muda tidak seharusnya dibelenggu dengan kaedah pendidikan dan cara-cara yang diwarisi, tanpa melihat kesesuaiannya dengan zaman mereka sendiri, melainkan di dalam perkara yang dithabitkan dengan nas tanpa menerima ijtihad lagi. Generasi lama tidak seharusnya fanatik dengan kaedah dan cara pendidikan yang dialami mereka semasa muda untuk mendidik generasi masa kini. Mereka tidak seharusnya memaksa pendekatan lama, tanpa memikirkan keperluan pengisian seharusnya untuk generasi muda bagi melengkapkan mereka sebagai pemimpin dan pelaku utama dalam perjuangan di masa hadapan.

Tarbiyyah efisyen dan cemerlang adalah untaian pergerakan membina generasi yang berilmu dan mempunyai kekuatan intelektual yang melahirkan kebijaksanaan. Ilmu tanpa kebijaksanaan memungkinkan kelahiran generasi rakus ilmu sehingga sanggup melakukan kezaliman bagi memuaskan naluri ingin tahunya. Generasi yang berjiwa rakus ilmu ini akan mengakibatkan berlakunya deintegrasi sosial dan sahsiah dalam kehidupan manusia. Kegilaan mengkaji dan menyelidik tanpa kebijaksanaan yang tinggi menjerumus masyarakat Barat ke dalam kesesatan dan kekosongan spiritual yang mengakibatkan berlakunya keruntuhan moral dan kehilangan matlamat kehidupan hakiki. Justeru, kegiatan akal dan pancaindera, mestilah berjalan seiring dengan kegiatan al-zikr yang sumbernya ialah wahyu yang dibawa oleh para rasul.

Pengisian di dalam program pendidikan mestilah mengadunkan antara al-fikr dan al-zikr sehingga terbentuk kebijaksanaan. Sesiapa yang diberikan kebijaksanaan, sesuangguhnya ia dikurniakan kebaikan yang banyak dan tiada yang ingat yakni yang menghayati zikr, melainkan golongan ulu al-bab.” Adunan inilah yang terkandung di dalam makna membaca di dalam wahyu pertama. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan.” Perintah membaca ini dilakukan secara bersepadu antara kitab al-kaun dan kitab al-Quran sebagai sumber kepada revealed knowledge yang satu-satunya yang masih asli.

Bacaan alam menghasilkan pengetahuan mengenai hukum-hukum Allah s.w.t. yang mengatur perjalanan alam syahadah dan alam tabi’e. Dengan menggunakan metodologi yang sesuai, banyak rahsia kejadian Allah s.w.t. di dalam alam ini dapat diketahui dan dimanfaatkan. Tetapi pengetahuan itu, tidak seharusnya menjadikan manusia itu rakus atau di dalam istilah al-Quran disebut sebagai “bagha” yakni melampaui batas. Sementara bacaan al-Quran pula menghasilkan ilmu dari sumber wahyu yang memberikan petunjuk mengenai kehidupan yang menyeluruh dari aspek kerohanian, kebudayaan, perundangan dan kemasyarakatan. Yakni, ia menyentuh mengenai pembangunan dan peradaban insan. Ketinggian kualiti insan dan kemantapan kerohaniannya, menjadikan manusia itu bijaksana dan tidak bersikap rakus atau melampau. Dengan itu, ia dapat menguruskan sumber alam ini dengan sebaiknya yang meninimakan kerosakan dan risikonya.

Pendidikan alaf baru di dalam melengkapkan penyediaan generasi baru yang berketrampilan, bukan sahaja harus membersihkan kandungan daripada sekularisme ilmu atau dualismenya. Tetapi juga membersihkan ilmu daripada unsur-unsur kemunduran yang menyempitkan ilmu hanya di dalam lingkungan taharah, ibadat khusus dan pengetahuan ukhrawi sahaja. Pengetahuan dari sumber bacaan ke atas alam, diketepikan sehingga berlaku kejahilan yang meluas dan menghalang tugas menjalankan urusan sebagai khalifah di bumi.

Bagaimanapun proses mengintegrasikan al-fikr dan al-zikr menerusi pengadunan kandungan ilmu bukanlah perkara mudah yang boleh dilakukan dengan sebarangan. Apalagi, setelah begitu lama dirungkai oleh arus kemunduran dan keruntuhan tamadun Islam dan dipukul badai sekularisme yang dibawa oleh penjajah Barat. Namun kita bersyukur, usaha mengintegrasikan kedua-duanya, tetap dilakukan oleh berbagai-bagai pihak di negara kita, terutama oleh pihak kerajaan dan juga para pemikir di bidang pendidikan di negara ini.

Meskipun perjalanan usaha itu agak perlahan, tetapi telah mencapai kejayaan yang membanggakan dari satu peringkat kepada peringkat yang lain. Diharapkan usaha tersebut dapat dilipat-gandakan sehingga matlamat pengIslaman ilmu dan integrasi ilmu-ilmu aqli dan naqli itu menjadi lebih pesat sehingga adunan al-fikr dan al-zikr itu menjadi kenyataan. Yang terakhir sekali ialah usaha yang dilakukan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa untuk melahirkan graduan yang mahir di dalam ilmu-ilmu sains, teknologi, perubatan dan seni bina yang sekaligus hafiz. Ini adalah langkah ke hadapan bagi mengintegrasikan ilmu-ilmu akli dan naqli yang mampu melahirkan adunan zikr dan fikr dalam satu acuan sahsiah bersepadu sebagai muslim yang berketrampilan.

Usaha yang terpuji ini, memerlukan sokongan dan political will yang mendokongnya, supaya ia dapat berjalan lancar. Tetapi kita juga seharusnya sedar bahawa di kalangan kita sendiri, masih ada golongan yang dibelenggu oleh mentaliti kolonial yang merasakan bahawa model barat itulah yang terbaik. Mereka yang ketinggalan zaman ini, tidak sedar bahawa di kalangan intelektual Barat sendiri sedang rimas dengan kegagalan pendidikan  masyarakat mereka yang gagal melahirkan manusia yang berperibadi mulia. Makin terasa oleh mereka bahawa sistem pendidian di Barat dan falsafah yang mendokongnya, mengeluarkan generasi yang makin terhakis sifat-sifat dan nilai-nilai kemanusiaannya.

Masyarakat Islam dan komuniti manusia dunia ketiga, telah sekian lama menjadi target peperangan pemikiran al-ghazwu al-fikr, untuk dijadikan hamba abdi orang-orang Barat yang menjadi gila dengan superiority complex mereka. Mereka merasakan berhak untuk memperhambakan masyarakat manusia yang dianggap mundur dan menguasai kekayaan di seluruh dunia sebagai manusia superior.

Pendidikan alaf baru di dunia Islam mestilah bersih daripada kesan-kesan peperangan pemikiran ini dari segi sistem dan kandungannya, mahupun perancang dan pendidik yang menggerakkan proses tarbiyyah bagi membina generasi muda yang bakal memimpin masyarakat Islam di masa hadapan. Bahkan para pemikir dan perancang pendidikan, mestilah merancang dan merangka serta mencari jalan-jalan dan kaedah paling berkesan untuk menggagalkan peperangan pemikiran yang dilancarkan oleh penjajah untuk menakluki pemikiran umat supaya tunduk kepada mereka.

Penjajahan fikiran lebih berbahaya daripada penaklukan negara. Ini ialah kerana penaklukan pemikiran itu tidak berakhir dengan pengunduran penjajah daripada sesuatu negara. Meskipun kini, banyak negara Islam yang dijajah telah merdeka, namun mentaliti anak tanah jajahan dan kesan-kesan peperangan fikiran masih lagi kekal dianuti oleh sebahagian besar masyarakat Islam yang terjajah itu. Kesan peperangan pemikiran ini menjadi penghalang besar untuk masyarakat Islam membina falsafah, sistem dan kandungan pendidikan mengikut acuan mereka sendiri. Justeru, masyarakat dan dunia Islam seharusnya, membentuk satu kumpulan pakar dan perancang yang bebas daripada mentaliti anak tanah jajahan bagi merancang pembangunan pendidikan yang eksilen bagi membina generasi ummat di alaf baru. Kumpulan ini mestilah juga bebas daripada kesan-kesan dan elemen kemunduran yang membawa kepada runtuhnya tamadun Islam dan lenyapnya tradisi keilmuan yang membentuk, membina dan mengembangkan tamadun Islam awalan. Kumpulan ini mestilah bebas daripada tasawwur ilmu agama yang disempitkan oleh desakan elemen kemunduran ini, sehingga ilmu agama itu hanya terbatas kepada bacaan ke atas wahyu sahaja, dan mengabaikan bacaan ke atas alam. Ilmu agama itu, kemudiannya, disempitkan lagi oleh elemen kemunduran ini sehingga skopnya menjadi sempit dan pengajian agama tidak lebih daripada hanya mempelajari usuluddin, syariah dan bahasa Arab.

Kandungan yang menjurus ke arah menghidupkan kembali ilmu agama yang bertunjangkan kepada konsep iqra’ hendaklah menjadi asas kepada pendidikan alaf baru, sekiranya masyarakat kita ingin hidup merdeka dan bebas menjalankan usaha memartabatkan agama dan bangsa mengikut acuan kita sendiri. Usaha gigih ke arah itu hendaklah dilaksanakan supaya kita terselamat daripada serangan penjajahan pemikiran dan akhlak yang dibawa oleh gelombang globalisasi dengan bersenjatakan internet dan kemajuan teknologi multimedia. Bahkan kita mestilah memanfaatkan kemajuan teknologi multimedia dan teknologi digital itu, untuk menyerang-balas serangan tersebut dengan risalah dan ajaran yang bukan matlamatnya untuk menguasai dan menghancurkan orang lain, tetapi untuk meningkat nilai-nilai hidup kemanusiaan supaya terpelihara maruah dan ke-hormatannya sebagai makhluk yang dimuliakan oleh Allah s.w.t.

THAILAND-SOUTH-UNREST

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s