Hargai Bumi Ciptaan Allah

Bumi ciptaan Allah s.w.t. terdiri daripada laut, darat dan udara. Bahagian lautan dipenuhi air. Di dalamnya terdapat pelbagai makhluk Allah s.w.t yang tidak dapat dibilang banyaknya. Di daratan terdapat pelbagai kejadian Allah s.w.t. yang tidak terhitung bilangannya. Tumbuh-tumbuhan, binatang-binatang, rumput rampai, kayu kayan dan sebagainya. Di perut bumi tersimpan pelbagai hasil galian berharga.. Emas, batu pertama, dan sebagainya, dicipta sebagai nikmat Tuhan. Di udara terdapat elemen-elemen dalam  yang sangat berguna kepada kehidupan manusia.

Keadaan bumi di setiap kawasan dan negeri, ada keistimewaan tersendiri. Permukaan bumi  negara kita tidak dicipta dalam keadaan pamah dan rata. Terdapat kawasan yang berbukit dan bergunung, ada pula kawasan bertanah pamah, dan ada pula yang berpaya. Terdapat kawasan bertasik dan sungai-sungai yang mengalir airnya dari hulu ke muara.

Negara kita Malaysia dan buminya yang sangat subur ini, terdapat di atas permukaannya pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Di lembah, di bukit dan di pergunungan tumbuh-tumbuhan meng-hiasi bumi. Di mana-mana sahaja tanah Malaysia kelihatan menghijau. Kurniaan Allah s.w.t. yang istimewa dan unik.

Sebahagian besar bumi Malaysia diliputi hutan belantara. Hanya sebahagian kecil, telah dibangunkan bandar-bandar, dan perkampungan untuk penempatan manusia. Sebahagian kecil  dibangunkan sebagai kawasan industri dan ternakan. Sebahagian yang agak luas dipenuhkan dengan ladang-ladang getah, kelapa sawit dan tanaman-tanaman lain seperti lada hitam, cengkih dan sayur-sayuran..

Hutan belantara yang meliputi sebahagian besar tanah Malaysia, adalah khazanah negara yang tidak ternilai harganya. Terdapat kayu kayan yang menjadi hasil pendapatan negara, pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan yang berguna untuk menghasilkan ubat-ubatan. Bahkan sayuran dan ulaman pelbagai jenis, turut didapati dalam hutan belentara negara kita. Apa lagi pelbagai jenis binatang liar yang hidup di dalamnya. Kesemua aset dan nikmat penting yang dikurniakan Allah s.w.t. untuk negara kita.

Walaupun sebahagian daripada kawasan hutan itu, terpaksa dibersihkan untuk penempatan manusia yang kian bertambah dan untuk pembinaan tamadunnya, tetapi khazanah hutan yang begitu berharga, melambangkan kesuburan dan kekayaan negara ini. Ia turut memberikan keindahan asli kepada negara kita yang perlu dipelihara dan dijaga.

Untuk memberi laluan kepada pembangunan, sebahagian daripada kawasan hutan yang berharga itu terpaksa dimusnahkan. Akibat kemusnahan itu, pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan, kayu kayan dan binatang-binatang menjadi pupus. Tetapi pengendalian urusan hutan, untuk pembangunan hendaklah dilakukan dengan berhemat. Manusia tidak seharusnya bersikap rakus apabila menggunakan nikmat kurniaan Allah s.w.t dari khazanah hutan rimba yang luas ini. Kerakusan manusia hanya akan membawa kerosakan kepada alam dan akibatnya, manusia sendiri turut menerima padah.

Yang paling dilihat berharga dari hutan rimba hanya kayu kayan. Lalu, kayu kayan itu ditebang. Pendapatan dari hasil kayu kayan itu dijadikan hasil negeri. Penghasilan negeri digunakan untuk pentadbiran dan pembangunan negeri. Adakah cara yang diamalkan ini berhemat?

Jika yang dilihat dari khazanah hutan itu hanya kayu kayan, dan kayu kayan itu ditebang dengan rakus, tentunya pandangan itu, adalah naïf dan merugikan. Pandangan seperti itu hanya pandangan  orang yang tamak dan rakus yang ingin mendapatkan keuntungan segera tanpa memikirkan kepentingan-kepentingan lain. Jika pan-dangan ini diterima oleh orang berkuasa dan dijadikan dasar, tentunya negara akan menanggung kerugian. Hutan belantara dan khazanah kekayaan di dalamnya, musnah dan terbuang begitu sahaja.

Selain daripada kayu kayan, hutan negara kita menyimpan pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan yang boleh mendatangkan hasil lumayan kepada negara. Dengan berkembangkan pengetahuan biotekologi dan biomedicine, manfaat hutan tidak lagi hanya terbatas kepada pembalakan. Banyak lagi usaha lain yang boleh dimanfaatkan daripada hasil hutan. Pelbagai spesis tumbuhan, akar pelbagai jenis kayu kayan dan tumbuh-tumbuhan, daun-daun dan bahan-bahan daripada tumbuh-tumbuhan itu boleh diproses untuk dijadikan makanan tambahan, ubat-ubatan dan sebagainya.

Dengan pengetahuan dan teknologi baru yang membuahkan hasil lumayan, pergantungan kepada pembalakan semata-mata akan dapat dikurangkan. Bahkan pembalakan yang melampau dan tidak kawalan, menjadi counter-productive, kerana ia memusnahkan pelbagai spesis yang terdapat dalam hutan yang boleh dijana pendapatan tinggi tanpa merosakkan alam sekitar.

Pembalakan yang berlebihan sehingga sanggup mencero-boh kawasan-kawasan takungan air adalah pebuatan mengkhianati pemberian Tuhan. Ia membawa kemusnahan dan kerosakan alam sekitar yang tidak boleh dibiarkan. Pihak-pihak yang meluluskan pembalakan mestilah berhati-hati dan kegiatan pembalakan mesti dipantau, supaya tauke kayu-kayan tidak sewenang-wenangnya menjalankan kegiatan mereka tanpa memikirkan kerosakan yang akan berlaku. Baik mereka yang membuat dasar, yang meluluskan pembalakan dan yang menjalankan kegiatan pembalakan mestilah diberi kesedaran dan keinsafan supaya menghargai khazanah alam dan setiaasa berhemat di dalam mencari kekayaan. Allah s.w.t. berfirman, “ Berbuat baiklah sebagaimana Allah s.w.t. berbuat baik kepada kamu, dan janganlah jangan menginginkan kerosakan di bumi, sesungguhnya Allah s.w.t. tidak suka kepada mereka yang melakukan kerosakan.”

Untuk menghargai alam sekeliling, kesedaran  mengenai hubungan manusia dan alam, perlu ditingkatkan. Di dalam ruang udara, terdapat oksigan yang diperlukan dalam pernafasan manusia dan haiwan. Jika ruang udara dicemari dengan pelbagai toksid dan racun, pastinya akan membahayakan kehidupan manusia. Tumbuh-tumbuhan merupakan penyumbang oksigen untuk pernafasan manusia. Tumbuh-tumbuhan bukan sahaja mengeluarkan oksigan ke udara, tetapi juga menyedut karbon dioksida daripada udara. Dengan itu ia membersihkan udara.

Hutan belantara juga menjadi tambatan banjir. Ia meresap-kan air dan menghalang air dari melimpah ke sungai tanpa kawalan. Mana-mana kawasan yang dibotakkan untuk pembangunan tanpa memelihara keseimbangannya, kerap mengalami banjir. Apa yang berlaku adalah balasan kepada manusia akibat ketamakan dan kelalaian mereka. Demikian kesusahan dan kesulitan yang bakal diterima oleh mereka yang tidak menghiraukan hukum dan peraturan Allah s.w.t.

Hanya komuniti yang mempunyai kesedaran yang mampu menahan keinginan membeli rumah-rumah yang dibina dilereng-lereng bukit oleh pemaju-pemaju yang mementingkan diri sendiri. Jika pihak berkuasa tidak meluluskan pembinaan rumah-rumah di lereng bukit, pemaju sentiasa berhemat dan pengguna perihatin terhadap masalah alam sekitar dan berwaspada terhadap malapetaka yang mungkin timbul akibat kerosakan ekosistem dan persekitaran, bencana seperti Highland Towers tidak akan berlaku.

Memelihara khazanah hutan dan menjaga alam sekitar, bukanlah bermakna berhenti daripada memanfaatkannya. “Allah s.w.t. telah menundukkan segala yang di bumi dan di langit untuk kemudahan manusia.”  Jika manusia tidak membangunkan bumi dan membiarkannya berada dalam keadaan semulajadinya tanpa diolah dan dibangunkan bagi mencipta kemajuan dan peradaban, manusia akan terus berada dalam status primitif dan ia gagal memainkan peranan sebagai khalifah.

Namun pemanfaatan itu mestilah dilakukan secara berhemat, sehingga tidak membawa kemusnahan dan merosakkan ecosistem yang berkemungkinan mengakibatkan bencana kepada kehidupan manusia dan haiwan.

Pengurusan khazanah hutan yang baik dan pembangunan holistik, adalah salah satu cara berhemat dalam memanfaatkan khazanah hutan untuk pembangunan.

Pengurusan khazanah hutan yang baik bermakna pihak berkuasa negeri yang berkuasa ke atas pengurusan hutan, mestilah menentukan dasar yang betul dalam memelihara khazanah hutan dan memanfaatkan kekayaan yang terdapat di dalamnya. Untuk menghasilkan dasar yang baik bagi tujuan itu, pengetahuan yang luas mengenai fungsi hutan dan hubungannya dengan kehidupan manusia perlu digarap secara mendalam. Tanpa pengetahuan mengenai ekosistem dan peranan tumbuh-tumbuhan kepada kehidupan manusia, mungkin dasar yang untuk dijadikan asas pengurusan, tidak dibuat dengan baik dan pelaksanaan dasar itu akan membawa kemusnahan.

Pihak berkuasa hendaklah mengetahui bahawa kawasan hutan yang berada dalam kawasan tertentu, dan secara khususnya, berada di kawasan hulu sungai, hendaklah digezetkan sebagai rizab kekal. Kawasan itu tidak boleh sama sekali diluluskan sebagai kawasan pembalakan. Bahkan, perlu diwujudkan zon selamat yang mempunyai keluasan berpatutan antara kawasan rizab kekal dengan kawasan yang boleh dijalankan aktiviti pembalakan. Kawasan selamat itu juga hendaklah digezetkan sebagai kawasan larangan pembalakan.

Pemantauan melalui udara dan darat hendaklah dilakukan dari semasa ke semasa bagi mempastikan bahawa dasar pemeliharaan hutan itu tidak dicabuli. Mereka yang menceroboh kawasan rizab kekal dengan aktiviti pembalakan, dan mereka yang terlibat serta perancangnya, mestilah dikenakan hukuman berat seperti  penjara mandatori serta sebatan, selain daripada denda yang tinggi.

Cara memanfaatkan khazanah hutan hendaklah dipelbagaikan. Kaedah-kaedah baru hendaklah dicari bagi memanfaatkan khazanah hutan, tanpa memusnahkannya. Tumbuh-tumbuhan yang mempunyai nilai-nilai komersil yang didapati daripada hutan-hutan di negara kita boleh diproses melalui pengetahuan dan teknologi baru. Manfaatkan kepakaran dan pengetahuan baru itu bagi menghasilkan produk-produk baru dari bahan-bahan yang terdapat di dalam hutan kita tanpa hanya melihat kepada satu kaedah sahaja iaitu pembalakan.

Peliharalah hutan kita untuk kebahagian kita dan untuk generasi akan datang.

beach forest

One response to “Hargai Bumi Ciptaan Allah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s