Oktober 6, 2009

Hala Tuju Dan Cabaran Pendidikan Alaf Baru : Persiapan Generasi Muda

Generasi muda ibarat bunga mekar yang harus dibelai supaya tidak layu dan gugur sebelum berputik menjadi buah. Mereka memerlukan belaian seimbang, tidak terlalu keras dan tidak terlalu dimanjakan, tidak terlalu lambat dibelai dan tidak pula terlalu bergopoh-gapah. Bunga mekar yang menunggu untuk berputik dan berbuah, akan gugur dan layu jika terlalu banyak hujan atau kemarau memanjang. Generasi muda tidak harus dilihat sebagai generasi tua atau dilihat sebagai kanak-kanak mentah yang segalanya perlu diatur oleh orang dewasa. Mereka harus dilihat dan difahami sebagaimana mereka sendiri. Apalagi generasi muda dari kalangan mahasiswa.

Untuk melahirkan generasi muda yang progresif dan dinamik yang berpotensi  menggerakkan jentera  Islam menuju kejayaan, mereka perlu melalui proses tarbiyyah yang cemerlang. Tarbiyyah yang mampu menumbuhkan syajarah taiyyibah (pepohon yang terbaik). Pepohon yang melahirkan seruan terbaik dan membawa mesej terbaik. “Kalimah terbaik bagaikan pepohon terbaik, tunjangnya teguh dan cabangnya menjulang di lagit. Ia dikunjungi setiap masa oleh mereka yang mahu menikmati kelazatan buahnya dengan izin Tuhannya.” Dengan tarbiyyah cemerlang, generasi ini akan muncul sebagai a seed which sends forth its blade. It then becomes thick. And it stands on its own stem.”

Tarbiyyah yang cemerlang bukan indoktrinasi yang bertujuan menjadikan generasi muda dan mahasiswa sebagai alat untuk menjulang seorang wira atau memulihkan kedudukan seorang pahlawan yang tersungkur atau menyokong sesuatu puak dan golongan bagi menjamin undi dalam perebutan kuasa politik. Tarbiyyah cemerlang adalah proses kental dan gigih bagi melahirkan insan yang berpegang teguh kepada tali Allah s.w.t. dan mendakap erat idealisme perjuangan Islam dengan kefahaman, ketaqwaan, kesedaran dan keinsafan mendalam sebagai insan mukmin yang mencari keredhaan Allah s.w.t. Insan mukmin, yang ranting dan dahan keadilan serta kebaikannya menjalar lebar menaungi setiap insan, tanpa terhalang oleh fanatisme, permusuhan dan perbezaan akidah. Hatinya sentiasa terpaut kepada arahan Tuhannya “Dan berbuat baiklah sebagaimana Allah s.w.t. berlaku baik kepada kamu dan janganlah kamu inginkan kerosakan di bumi.”

Tarbiyyah cemerlang ialah pendidikan yang tidak bersempadankan masa kini, tetapi persiapan generasi muda untuk masa hadapan. Tarbiyyah cemerlang seperti inilah yang menjadi dasar pendidikan era pemerintahan Umar Ibn Khattab yang dinyatakan dalam ucapannya, “Ajarlah anak-anak kamu untuk zaman yang bukan zaman kamu.” Justeru, generasi muda tidak seharusnya dibelenggu dengan kaedah pendidikan dan cara-cara yang diwarisi, tanpa melihat kesesuaiannya dengan zaman mereka sendiri, melainkan di dalam perkara yang dithabitkan dengan nas tanpa menerima ijtihad lagi. Generasi lama tidak seharusnya fanatik dengan kaedah dan cara pendidikan yang dialami mereka semasa muda untuk mendidik generasi masa kini. Mereka tidak seharusnya memaksa pendekatan lama, tanpa memikirkan keperluan pengisian seharusnya untuk generasi muda bagi melengkapkan mereka sebagai pemimpin dan pelaku utama dalam perjuangan di masa hadapan.

Tarbiyyah efisyen dan cemerlang adalah untaian pergerakan membina generasi yang berilmu dan mempunyai kekuatan intelektual yang melahirkan kebijaksanaan. Ilmu tanpa kebijaksanaan memungkinkan kelahiran generasi rakus ilmu sehingga sanggup melakukan kezaliman bagi memuaskan naluri ingin tahunya. Generasi yang berjiwa rakus ilmu ini akan mengakibatkan berlakunya deintegrasi sosial dan sahsiah dalam kehidupan manusia. Kegilaan mengkaji dan menyelidik tanpa kebijaksanaan yang tinggi menjerumus masyarakat Barat ke dalam kesesatan dan kekosongan spiritual yang mengakibatkan berlakunya keruntuhan moral dan kehilangan matlamat kehidupan hakiki. Justeru, kegiatan akal dan pancaindera, mestilah berjalan seiring dengan kegiatan al-zikr yang sumbernya ialah wahyu yang dibawa oleh para rasul.

Pengisian di dalam program pendidikan mestilah mengadunkan antara al-fikr dan al-zikr sehingga terbentuk kebijaksanaan. Sesiapa yang diberikan kebijaksanaan, sesuangguhnya ia dikurniakan kebaikan yang banyak dan tiada yang ingat yakni yang menghayati zikr, melainkan golongan ulu al-bab.” Adunan inilah yang terkandung di dalam makna membaca di dalam wahyu pertama. Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menjadikan.” Perintah membaca ini dilakukan secara bersepadu antara kitab al-kaun dan kitab al-Quran sebagai sumber kepada revealed knowledge yang satu-satunya yang masih asli.

Bacaan alam menghasilkan pengetahuan mengenai hukum-hukum Allah s.w.t. yang mengatur perjalanan alam syahadah dan alam tabi’e. Dengan menggunakan metodologi yang sesuai, banyak rahsia kejadian Allah s.w.t. di dalam alam ini dapat diketahui dan dimanfaatkan. Tetapi pengetahuan itu, tidak seharusnya menjadikan manusia itu rakus atau di dalam istilah al-Quran disebut sebagai “bagha” yakni melampaui batas. Sementara bacaan al-Quran pula menghasilkan ilmu dari sumber wahyu yang memberikan petunjuk mengenai kehidupan yang menyeluruh dari aspek kerohanian, kebudayaan, perundangan dan kemasyarakatan. Yakni, ia menyentuh mengenai pembangunan dan peradaban insan. Ketinggian kualiti insan dan kemantapan kerohaniannya, menjadikan manusia itu bijaksana dan tidak bersikap rakus atau melampau. Dengan itu, ia dapat menguruskan sumber alam ini dengan sebaiknya yang meninimakan kerosakan dan risikonya.

Pendidikan alaf baru di dalam melengkapkan penyediaan generasi baru yang berketrampilan, bukan sahaja harus membersihkan kandungan daripada sekularisme ilmu atau dualismenya. Tetapi juga membersihkan ilmu daripada unsur-unsur kemunduran yang menyempitkan ilmu hanya di dalam lingkungan taharah, ibadat khusus dan pengetahuan ukhrawi sahaja. Pengetahuan dari sumber bacaan ke atas alam, diketepikan sehingga berlaku kejahilan yang meluas dan menghalang tugas menjalankan urusan sebagai khalifah di bumi.

Bagaimanapun proses mengintegrasikan al-fikr dan al-zikr menerusi pengadunan kandungan ilmu bukanlah perkara mudah yang boleh dilakukan dengan sebarangan. Apalagi, setelah begitu lama dirungkai oleh arus kemunduran dan keruntuhan tamadun Islam dan dipukul badai sekularisme yang dibawa oleh penjajah Barat. Namun kita bersyukur, usaha mengintegrasikan kedua-duanya, tetap dilakukan oleh berbagai-bagai pihak di negara kita, terutama oleh pihak kerajaan dan juga para pemikir di bidang pendidikan di negara ini.

Meskipun perjalanan usaha itu agak perlahan, tetapi telah mencapai kejayaan yang membanggakan dari satu peringkat kepada peringkat yang lain. Diharapkan usaha tersebut dapat dilipat-gandakan sehingga matlamat pengIslaman ilmu dan integrasi ilmu-ilmu aqli dan naqli itu menjadi lebih pesat sehingga adunan al-fikr dan al-zikr itu menjadi kenyataan. Yang terakhir sekali ialah usaha yang dilakukan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa untuk melahirkan graduan yang mahir di dalam ilmu-ilmu sains, teknologi, perubatan dan seni bina yang sekaligus hafiz. Ini adalah langkah ke hadapan bagi mengintegrasikan ilmu-ilmu akli dan naqli yang mampu melahirkan adunan zikr dan fikr dalam satu acuan sahsiah bersepadu sebagai muslim yang berketrampilan.

Usaha yang terpuji ini, memerlukan sokongan dan political will yang mendokongnya, supaya ia dapat berjalan lancar. Tetapi kita juga seharusnya sedar bahawa di kalangan kita sendiri, masih ada golongan yang dibelenggu oleh mentaliti kolonial yang merasakan bahawa model barat itulah yang terbaik. Mereka yang ketinggalan zaman ini, tidak sedar bahawa di kalangan intelektual Barat sendiri sedang rimas dengan kegagalan pendidikan  masyarakat mereka yang gagal melahirkan manusia yang berperibadi mulia. Makin terasa oleh mereka bahawa sistem pendidian di Barat dan falsafah yang mendokongnya, mengeluarkan generasi yang makin terhakis sifat-sifat dan nilai-nilai kemanusiaannya.

Masyarakat Islam dan komuniti manusia dunia ketiga, telah sekian lama menjadi target peperangan pemikiran al-ghazwu al-fikr, untuk dijadikan hamba abdi orang-orang Barat yang menjadi gila dengan superiority complex mereka. Mereka merasakan berhak untuk memperhambakan masyarakat manusia yang dianggap mundur dan menguasai kekayaan di seluruh dunia sebagai manusia superior.

Pendidikan alaf baru di dunia Islam mestilah bersih daripada kesan-kesan peperangan pemikiran ini dari segi sistem dan kandungannya, mahupun perancang dan pendidik yang menggerakkan proses tarbiyyah bagi membina generasi muda yang bakal memimpin masyarakat Islam di masa hadapan. Bahkan para pemikir dan perancang pendidikan, mestilah merancang dan merangka serta mencari jalan-jalan dan kaedah paling berkesan untuk menggagalkan peperangan pemikiran yang dilancarkan oleh penjajah untuk menakluki pemikiran umat supaya tunduk kepada mereka.

Penjajahan fikiran lebih berbahaya daripada penaklukan negara. Ini ialah kerana penaklukan pemikiran itu tidak berakhir dengan pengunduran penjajah daripada sesuatu negara. Meskipun kini, banyak negara Islam yang dijajah telah merdeka, namun mentaliti anak tanah jajahan dan kesan-kesan peperangan fikiran masih lagi kekal dianuti oleh sebahagian besar masyarakat Islam yang terjajah itu. Kesan peperangan pemikiran ini menjadi penghalang besar untuk masyarakat Islam membina falsafah, sistem dan kandungan pendidikan mengikut acuan mereka sendiri. Justeru, masyarakat dan dunia Islam seharusnya, membentuk satu kumpulan pakar dan perancang yang bebas daripada mentaliti anak tanah jajahan bagi merancang pembangunan pendidikan yang eksilen bagi membina generasi ummat di alaf baru. Kumpulan ini mestilah juga bebas daripada kesan-kesan dan elemen kemunduran yang membawa kepada runtuhnya tamadun Islam dan lenyapnya tradisi keilmuan yang membentuk, membina dan mengembangkan tamadun Islam awalan. Kumpulan ini mestilah bebas daripada tasawwur ilmu agama yang disempitkan oleh desakan elemen kemunduran ini, sehingga ilmu agama itu hanya terbatas kepada bacaan ke atas wahyu sahaja, dan mengabaikan bacaan ke atas alam. Ilmu agama itu, kemudiannya, disempitkan lagi oleh elemen kemunduran ini sehingga skopnya menjadi sempit dan pengajian agama tidak lebih daripada hanya mempelajari usuluddin, syariah dan bahasa Arab.

Kandungan yang menjurus ke arah menghidupkan kembali ilmu agama yang bertunjangkan kepada konsep iqra’ hendaklah menjadi asas kepada pendidikan alaf baru, sekiranya masyarakat kita ingin hidup merdeka dan bebas menjalankan usaha memartabatkan agama dan bangsa mengikut acuan kita sendiri. Usaha gigih ke arah itu hendaklah dilaksanakan supaya kita terselamat daripada serangan penjajahan pemikiran dan akhlak yang dibawa oleh gelombang globalisasi dengan bersenjatakan internet dan kemajuan teknologi multimedia. Bahkan kita mestilah memanfaatkan kemajuan teknologi multimedia dan teknologi digital itu, untuk menyerang-balas serangan tersebut dengan risalah dan ajaran yang bukan matlamatnya untuk menguasai dan menghancurkan orang lain, tetapi untuk meningkat nilai-nilai hidup kemanusiaan supaya terpelihara maruah dan ke-hormatannya sebagai makhluk yang dimuliakan oleh Allah s.w.t.

THAILAND-SOUTH-UNREST

September 16, 2009

AIDILFITRI UNTUK DIHAYATI

Baki beberapa hari sahaja, umat Islam seluruh dunia akan meraikan hari kemenangan setelah sebulan menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan. Cepat benar masa berlalu, meninggalkan kita yang mungkin terlalu menantikan kehadiaran Aidilfitri sehingga saban hari tidak penat menghitung hari. Alhamdulillah, ibadah di bulan Ramadhan hampir sempurna dilakukan. Alhamdulillah kerana kita terus diberi nafas untuk mengimarahkan bulan Ramadhan dan seterusnya menyambut hari kejayaan bersama-sama keluarga tercinta.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri kepada seluruh muslimin dan muslimat di mana sahaja berada. Semoga Aidilfitri ini dapat disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran. Moga kita dapat manfaatkan pertemuan dengan saudara mara dan rakan taulan untuk terus menjalinkan ukhwah yang diredhai Allah s.w.t.

kad-raya

September 10, 2009

1MALAYSIA DAN PERJUANGAN MEMPERTAHANKAN ISLAM

Isu yang timbul rentetan daripada konsep 1 Malaysia yang diketengahkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6azia dan persoalan mengenai hubungan Melayu dan Islam dalam perjuangan umat Islam harus dianalisa sama ada kedua-duanya saling berkait atau terpisah. Di samping meneliti fungsi yang dimainkan oleh fitrah kebangsaan dalam perjuangan menegakkan Islam dan membela umatnya. Adakah ia benar-benar terlaksana atau sekadar laungan untuk meraih perhatian masyarakat?

Hasrat untuk membina bangsa Malaysia yang bersatu dan maju adalah hasrat seluruh masyarakat walaupun usaha untuk merealisasikannya ternyata sukar, bersimpang-siur dan berliku-liku. Bentuk dan acuannya telah ditafsirkan dalam bentuk yang berbeza oleh pelbagai pihak. Perjuangan menelusuri parti-parti politik untuk menjayakan cita-cita tersebut, kian rapuh. Retak berlaku di sana sini dan sebahagiannya menanti belah. Parti-parti politik serpihan sering muncul dan  menjadikan induknya, sumbing. Rakyat makin keliru dan bingung dengan gelagat yang diracuni oleh politik kebencian. Di samping itu, kepimpinan politik dilihat semakin kerdil daya kebijaksanaannya. Keputusan-keputusan politik sering membawa kesan sampingan yang menggugat keutuhan dan mencabar nasib masa depan negara bangsa yang sedang dibangunkan.

Satu persoalan yang timbul di sini ialah mengapa kita harus membiarkan parti-parti politik tersebut berkelakuan nanar dengan mendamba kuasa sesuka hati sehingga menjadikan masa hadapan negara seumpama barang gadaian yang tidak mudah ditebus kembali jika terlepas ke tangan orang. Mengapa kita harus membisu dan membiarkan sahaja suasana perjuangan untuk masa hadapan agama dan bangsa digamatkan oleh hiruk-pikuk politikus yang pepat di luar rencong di dalam, telunjuk lurus kelingking berkait? Mengapa kita harus membiarkan diri menjadi penonton yang pasif dan bagaikan kerengga menghurung pauh menantinya masak, akhirnya jatuh bersama pauh ke bumi dan mati dihempap buah yang ditunggunya sehingga ranum itu.

Masa untuk kita berdiam diri sudah lama berlalu. Setiap individu mesti prihatin dan peka kepada perkembangan sekeliling yang mendambakan perubahan. Setiap warga masyarakat seharusnya tampil ke hadapan bagi menyelamatkan situasi ini, memperbetulkan kepincangan dan mencegah bahaya yang sedang melanda. Kewujudan Majlis Amal Islami Malaysia yang menyatukan seluruh NGO Islam di Malaysia mungkin boleh menjadi wadah yang sesuai bagi menyalur suara dan menggerakkan kembali nada perjuangan  yang kian sepi. Segalanya bergantung kepada kita. Kita mahu MAIM secara jelas menjadi apa dan ke mana arah dan hala tujunya. Langkah penyatuan telah dilaksanakan dengan hasrat memperjuangkan agama biar berdaulat. Hakikatnya, kita sedang mengharung lautan bergelora, merentasi kawasan berbukit bukau, melalui belantara yang berkeliaran binatang buas. Kita bukan sahaja harus tabah, tetapi harus berhati-hati dan bijaksana mengatur langkah.

Usaha untuk mempastikan suara kebenaran menjadi lebih lantang daripada suara perkelahian dan permusuhan untuk merebut kuasa harus dilaksanakan. Kita mesti berusaha mempastikan bahawa suara keadilan lebih nyaring daripada tempik sorak untuk menegakkan benang basah dan seribu satu tipu muslihat dalam percaturan politik tidak bermaruah dan tidak beretika. Pembersihan perjuangan bangsa daripada percaturan yang mengajak umat berkelahi dan berbalah sesama sendiri harus dilakukan.

Untuk menyuarakan kebenaran dan menegakkan keadilan, kita tidak seharusnya membiarkan diri menjadi burung tiong. Bersuara mengikut kehendak orang lain yang terlebih dahulu mengatur dan menyusun apa yang hendak dikata dan apa yang hendak diulas apabila ditanya. Ketika berlaku sesuatu peristiwa atau muncul kenyataan mengenai sesuatu dasar dan perancangan dari pembesar negara, kita sudah tahu apa ulasan dan komentar di akhbar-akahbar pada keesokan harinya. Penuh puji dan puja, semuanya betul belaka dan diisytiharkan sebagai gagasan yang dicetuskan akal bijaksana yang tiada tolak bandingnya. Di pihak yang lain, tiada yang baik yang dihasilkan negara ini, sejak merdeka, semuanya jelek belaka. Apa yang telah dan sedang dilakukan semuanya tidak berguna.

Sebagai pejuang kebenaran dan keadilan, kitalah orang pertama yang seharusnya berusaha mencari kebenaran dan berpegang kepadanya. Kitalah orang pertama yang seharusnya bersikap adil dan tegas dalam menegakkan keadilan. Sebagaimana pemerintah yang kita bernaung di bawah pemerintahannya mesti berlaku adil kepada setiap rakyat, rakyat juga perlu berlaku adil kepada pemerintah. Keadilan adalah kewajipan semua. Setiap orang dan setiap pihak mesti berlaku adil dan menjalankan keadilan di dalam apa jua perkara dan untuk semua, walaupun terhadap musuh.

Kita masih kabur dengan konsep satu Malaysia yang dilontarkan ke tengah masyarakat sebagai dasar negara oleh pemimpin nombor satu di negara kita. Sebagai rakyat, kita mesti membincangkannya, mengkaji secara objektif dan meneliti yang tersurat dan tersirat sehingga kita memahaminya. Apa lagi Satu Malaysia dikemukakan dalam bentuk retorik politik yang tidak dijelaskan dengan sempurna konsep, rancangan serta pelan tindakannya. Hanya tiba-tiba kita diseret ke dalam agenda liberalisasi ekonomi, yang kita juga tidak diberikan penjelasan mengenainya. Kita ingin tahu apakah bezanya satu Malaysia dengan Malayan Union atau Malaysian Malaysia atau apakah maksud lain sama ada yang tersurat dan yang tersirat. Kita mahu kepada penjelasan ini semua dan pihak kerajaan perlu memberikan penjelasan yang terperinci apakah konsep dan perancangannya untuk diteliti oleh rakyat. Kalau maksudnya hanya untuk mengulangi dasar-dasar sedia ada yang dilontarkan hanya sebagai istilah dan slogan baru, kita mungkin hanya disuapkan dengan pemikiran basi yang menjanjikan perubahan yang tidak kesampaian. Untuk perubahan kita memerlukan pelan tindakan yang diikuti dengan pelaksanaan tegas dan berkesan.

Perbincangan dan penelitian dapat memberikan pelbagai kemungkinan dan gambaran mengenainya, daripada pelbagai sudut yang pastinya akan membuka mata kita dan meluaskan perspektif kita berdasarkan kemungkinan-kemungkinan itu. Dengan memahami pelbagai kemungkinan kita boleh membuat persiapan yang perlu untuk bertindak sama ada menyokong atau menentangnya tanpa dipengaruhi sentimen melulu dan tidak menjadi hanya sebagai burung tiong yang dibela dan diberi makan oleh parti pemerintah atau parti pembangkang.

Satu lagi isu adalah mengenai hubungan Melayu dan Islam dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.Apakah perjuangan kemelayuan itu dalam konteks masyarakat di negara ini bertentangan dengan Islam jika dilihat dari segi konsep kemelayuan dan aplikasinya dalam pembentukan masyarakat Islam di negara ini terutama jika dilihat dari aspek kepentingan strategi bagi membina kekuatan Islam dan memelihara kepentingan  umatnya.

Di dalam Perlembagaan negara, istilah bangsa Melayu tidak diukur daripada darah keturunan. Ukuran utama ialah agama dan budaya. Apakah agenda pembentukan rupa bangsa dalam acuan yang ditetapkan dalam perlembagaan itu berlawanan dengan Islam. Adakah Islam menolak sama sekali agenda penyatuan bangsa sebagai elemen kekuatan fitrah yang mendokongnya, di samping kekuatan akidah, keimanan dan ketakwaan yang terpancar daripada ajarannya. Mengapa pelbagai bangsa dan budaya di Asia Barat dan Afrika diasimilasikan sebagai bangsa Arab yang menjadi pendokong agama Islam sejak dahulu. Bangsa-bangsa di kawasan itu yang belum sempat diasimilasikan sebagai bangsa Arab, membentuk kelompok Islam mawalli dan kekal sebagai orang-orang Parsi dan Turki yang akhirnya mencetuskan perpecahan. Faktor mawalli menjadi salah satu faktor perpecahan dan  punca krisis politik kerajaan Abbasiah yang membawa kejatuhannya dan juga antara penyumbang kepada kejatuhan tamadun Islam. Kesan bangsa Turki tidak diarabkan, muncul kelompok Arab yang dihasut penjajah dengan konsep nasionalisme tajaan Barat, bangkit menentang Khalifah Islam Uthmaniah dan menghancurkannya. Manakah pilihan terbaik bagi orang-orang Cina dan India yang beragama Islam diasimilasikan sebagai bangsa Melayu pendokong utama agama Islam di negara ini atau kekal dalam etnik asal yang membentuk golongan mawalli yang terasing, tersingkir serta terpisah daripada majoriti umat Islam dalam masyarakat majmuk di negara ini?

Keperluan kepada penyatuan bangsa dalam acuan yang sesuai dengan Islam seharusnya dilihat daripada kehendak dan keperluan strategis bagi menguatkan barisan Islam dan memperkasakannya sebagai pendokong Islam, terutama dalam masyarakat majmuk yang terdapat di dalamnya pelbagai agama dan budaya. Apa lagi Islam berhadapan dengan ancaman kuasa-kuasa luar yang bercita-cita memusnahkannya.

Perjuangan untuk mempertahankan Islam itu memang tidak akan terhenti walau bagaimana sekalipun situasi yang dihadapi. Justeru, ungkapan puisi ini adalah untuk mengingatkan  para pejuang kebenaran dan keadilan serta para da’i yang semakin berkurangan dan suara mereka makin sepi dalam hiruk pikuk manusia mencari kepuasan diri dan mabuk kekuasaan tanpa menghiraukan amanah dan kewajipan.

Serangkai mutiara madah pujangga
dalam sejambak bunga bahasa,
tersusunan indah warna dalam lukisan makna
tidak terungkap hikmah kebesaran Ilahi
yang terpancar dari rahsia ciptaan langit dan bumi
yang terserlah dalam  rangkap-rangkap suci Qurani,
Hikmah manusiawi yang kita miliki
hanya seceduk air dari lautan tidak bertepi
sejauh mana pun rasional insani berpesta dalam diri
hanya sekadar kerdip lilin menerangi malam sepi
Bila manusia merasa dirinya secerah mentari
menerangi buana kehidupan duniawi tanpa misteri
rahsia segalanya terbongkar tanpa petunjuk Ilahi
kerana manusia punya sakti dan upaya diri
Tika rasional  berbicara dalam khayalan
mampu ukir wajah real dalam kejadian
di alam maya berkeliaran  pesan memesan
teknologi canggih menghubung dunia tanpa sempadan
syaitan terlepas dari ikatan dan maksiat berkeliaran
lalu bumi mengaduh kesakitan
dan bencana mengaung meluah kemurkaan
kerana  perlakuan manusia  menginkari Tuhan
dan asyik berpesta dalam mabuk kekuasaan
amanah diketepikan, kebijaksanaan dihumban
hanya kepentingan sendiri jadi keutamaan
ke mana  kita  di masa hadapan
dan kiamat hanya sepekan lagi akan memuntah kemusnahan.

Diterbitkan dalam Milenia Muslim keluaran Jun 2009.

September 9, 2009

DOAKU

nice view

Senyaman udara di pergunungan
sesejuk embun di waktu pagi
kurasa hidup ini
sungguh indah bagaikan mimpi

Kusedar di luar sana
tak seindah yang kurasa
kerana bencana menimpa
akibat rakus manusia,

Kupanjat syukur pada Ilahi
rahmat-Nya mencurah tanpa henti
untukku rasai hidup ini
bagaikan nikmat syurgawi

Betapa maluku pada-Nya
untuk meminta lagi
tapi rahmat-Mu ya Allah
tak surut untuk hamba-Mu ini
belas kasih-Mu
terbentang luas tanpa sempadan
untukku pohon keampunan

Kurnialah padaku
Erti sejati
hakikat iman pada-Mu, ya Ilahi
agarku tidak berpaling lagi
di detik penuh syahdu
dalam doaku.

Kuala Lumpur, 13 Mei 2008.

Nukilan ini telah lama disimpan dalam fail desktop saya. Sekadar ingin berkongsi.

September 8, 2009

Apa Tujuan Kamu?

Kadang-kadang, kita sering bermonolog. Mencari-cari satu jawapan tentang apa yang kita suka atau tentang apa yang kita mahukan dalam kehidupan ini. Sedang kita berasakan kita hidup dalam keadaan kekurangan, kita mencongak, untuk memiliki kereta, rumah, simpanan yang banyak dan segala kesenangan sebagaimana yang dinikmati oleh golongan yang kita lihat mereka bahagia dengan harta kekayaan mereka lantas  dalam hati mula bergetus, alangkah indahnya kalau aku di tempat dia.

Pernahkan anda bertanya pada orang lain, apakah tujuan hidup manusia di dunia ini? Apakah tujuan hidup kita ialah mengumpul harta untuk menjadi kaya? Adakah tujuan hidup ini menjadi orang paling berkuasa di dunia bergelar maharaja yang digeruni dan ditakuti, menikmati segala keistimewaan dan kebesaran? Adakah tujuan hidup ini menjadi selebriti yang dikenali dan dipuja oleh peminat? Namakan apa sahaja yang anda inginkan. Apakah semua itu tujuan sebenar hidup manusia di dunia ini.

Apa yang anda inginkan, mungkin menjadi tujuan anda secara bersendirian. Sebagai individu, anda memiliki cita-cita tertentu untuk anda capai dalam hidup ini. Apakah itu tujuan hidup anda yang sebenar?

Anda ingin menjadi seorang yang kaya raya. Anda berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita itu. Setelah anda menjadi kaya raya hasil usaha anda yang gigih dan menikmati segala keistimewaan sebagai orang kaya. Apakah yang berikutnya, jika anda masih hidup di dunia ini. Adakah anda berpuas hati dengan pencapaian itu atau anda berasa mengah untuk mengurus kekayaan anda yang melimpah ruah itu? Jika tidak berapa lama setelah mendapat gelaran sebagai orang kaya, umur anda berakhir, adakah tujuan hidup anda tercapai dengan mati sebagai orang kaya sahaja?

Anda ingin menjadi orang paling berkuasa di negara anda atau di dunia ini. Anda menguasai politik dan berjaya menjawat jawatan tertinggi dalam negara anda sebagai Presiden atau Perdana Menteri. Dengan menjawat jawatan tertinggi itu adakah tujuan hidup anda telah tercapai? Anda mungkin menanam cita-cita lebih besar. Dengan kuasa yang ada, anda akan membangunkan negara anda menjadi sebuah negara maju dan paling berpengaruh di dunia. Jika dalam masa pemerintahan anda tidak mencapai hasrat itu, apakah bermakna anda gagal?

Tujuan hidup kita, kita sendiri yang tentukan. Ya, itu semestinya. Tepuk dada, tanya iman anda.