Wanita Tidak Boleh Berjaya? Episod II

muslimah

Umumnya, wanita Islam hari ini berada di persimpangan jalan yang membingungkan. Golongan yang terseksa dengan kongkongan tradisi, berusaha merungkai ikatan dan melepaskan dari dari berpaut di dahan agama dan budaya bangsa. Mereka memilih landasan baru berteraskan kebebasan barat.

Sementara mereka yang lemas dalam kebebasan dan kehidupan yang telah tercabut akar-budayanya pula, memilih jalan untuk kembali ke dalam kehidupan tradisi serba terkongkong. Mereka menjadi lesu membisu. Suara mereka sesepi malam yang tiada kerdipan bintang. Mereka menanti saat untuk keluar kali terakhir dari rumah suami ke perkuburan.

Di hadapan dua persimpangan yang menggerunkan ini, wanita Islam memerlukan kemunculan gerakan emansipasi. Gerakan sebagai penyelamat yang jelas haluan dan halatujunya. Dengan jiwa penuh optimis, didokong keimanan seteguh Kinabalu dan kemahuan sekental hamparan pepejal batu di Himalaya, wanita Islam perlu bersatu. Wanita Islam mesti digembleng sepenuh tenaga. Belenggu tradisi serba mengongkong mesti dirungkai. Pemikiran sempit yang mudah terpedaya, wajib disingkir dari minda wanita kita. Wanita Islam seharusnya berdiri tinggi dan bernada lantang menyuarakan kebenaran. Biar pun lautan bergelora, badai setinggi gunung melanda, namun wanita Islam harus tabah menghadapinya, gagah mengharunginya ,tidak empuk direbus putus asa, tidak dilumat penggiling celaan dan kata nista tidak hangus dibakar duka nestapa.

Sinar neon yang memancar dari perjuangan kebebasan feminin Barat, tidak mungkin memperdayakan wanita Islam yang dibentuk minda dan jiwanya dengan sinar sejati dari petunjuk al-Quran dan Sunnah Nabi. Sinaran palsu dari kilauan kaca, tidak mungkin memperdayakan wanita bertaqwa yang diterangi hatinya dari sinar mutiara intan Ilahi. Kepalsuan tidak berdaya lagi mengelirukan setiap insan yang sentiasa berpaut erat kepada kebenaran Islam.

Di sinilah tempat kaum wanita berdiri untuk memulakan gerakan emansipasi yang mampu berbakti kepada seluruh insan di bumi ini. Di tangan wanita Islam sejati tergantung harapan setinggi awan untuk kembalinya sinar kemuliaan bagi melonjakkan mertabat wanita ke mercu kejayaan.

Perjuangan wanita Islam awalan adalah teladan sepanjang zaman, ikutan yang berwawasan dan sumber aspirasi yang penuh idealisme untuk meluruskan perjalanan. Dengan pakaian zahir yang penuh sopan, aurat ditutup sebagaimana perintah Tuhan, pakaian taqwa menghiasi kalbu dan menjiwai rohani di segenap penjuru, wanita Islam awalan, muncul di tengah persada perjuangan sebagai serikandi kemanusiaan. Dengan ketabahan menjulang dan kesabaran yang tidak mengenal erti kekecewaan, wanita Islam awalan berada di barisan hadapan, bersama pahlawan terbilang mengibar bendera jihad, menyediakan makanan dan minuman untuk tentera sedang berperang, merawat dan mengangkut yang luka dan cedera di medan pertempuran.
Wanita Islam awalan, bukan wanita lesu yang terkurung dalam ikatan adat dan tradisi yang membelenggu. Mereka bukan juga wanita bebas dalam kancah perjuangan feminin yang tergadai maruah dan memekik melolong tanpa tujuan, tanpa haluan, tanpa petunjuk ke jalan kebenaran.

Wanita Islam awalan adalah serikandi kemanusiaan unik yang menghayun buaian dan membentuk generasi, yang di bawah telapak kakinya terletak syurga yang dijanjikan untuk para mukmin dan mujahidin ke jalan Allah s.w.t Tuhan sekalian alam.
Wanita Islam tidak seharusnya merasa rendah diri untuk kekal menjadi ibu pembina generasi. Wanita Islam tidak seharusnya merasa hina untuk kekal menjadi penghayun buaian yang bakal melahirkan pejuang-pejuang Islam. Mereka seharusnya berbangga dan rasa terhormat dengan gelaran ibu yang dimuliakan Tuhan, dengan gelaran penghayun buaian yang mengulitkan lagu kebenaran ke telinga para pewaris perjuangan di masa hadapan.

Di tangan para ibu, lahir anak-anak yang bakal menentukan jatuh bangunnya agama, bangsa dan negara. Seperti kata penyair Ahmad Syauqi; Ibu adalah sekolah, yang jika dibentuk secara sempurna, akan terbentuklah umat terbilang. Ibu yang menghayun buaian bagi melaksanakan tugas besar ini, bukan hanya untuk diri dan keluarganya, tetapi untuk umat seluruhnya.
Hayunan buaian dan belai kasihnya untuk melahirkan insan berguna, seharusnya dihargai, didokong oleh segenap lapisan masyarakat Islam secara bersama. Masyarakat Islam harus tampil ke hadapan, menggembleng tenaga untuk menjadikan ibu institusi perjuangan yang tersedia segala kemudahan yang lengkap prasarananya, bagi membantu para ibu berperanan sepenuh makna perjuangan.
Perjuangan wanita memertabatkan institusi ibu, bukan sekadar mengharmonikan keluarga dan penyelesaian isu-isu seperti poligami dan pembayaran nafkah untuk para janda. Perjuangan memartabatkan institusi ibu, menyentuh rancangan pembinaan pengkalan perjuangan jangka panjang. Ibu, seperti sebatang sungai yang sentiasa mengalirkan airnya ke muara. Jika keruh di hulu, keruhlah di muara. Jika jernih di hulu, jernihlah di muara. Pembinaan institusi ibu sebagai pengkalan perjuangan ialah untuk mempastikan air di hulu sentiasa memberikan kejernihan supaya jernih pula air di muara. Pembangunan istitusi ibu sebagai pengkalan perjuangan adalah agenda besar untuk kegemilangan umat dan ia bukan melibatkan hanya wanita, tetapi memerlukan seluruh tenaga bagi mempastikan agenda ini berjaya dilaksanakan dengan segera.

Kita, sebenarnya kesuntukan masa untuk melayani perkara-perkara remeh dan menyibuk diri berbicara pekara-perkara diperselisihkan yang tiada penghujungnya. Masa singkat yang ada, menuntut kita memberi tumpuan mega kepada persoalan utama yang menyentuh maruah dan kehormatan wanita sebagai pendokong perjuangan agama, bangsa dan negara.

Begitu juga wanita Islam mesti tampil ke hadapan mempengaruhi dasar-dasar negara mengenai hiburan. Kegiatan hiburan untuk berehat dan memulihkan semangat dari keletihan berkerja sepanjang hari, tidak seharusnya dibiarkan menjadi tempat maksiat yang berpesta iblis dan syaitan, menggoda manusia supaya terpesung dari jalan lurus dan produktif.

Angkara maksiat, ibu mithali dikhianati suami, anak-anak kehilangan belaian kasih, remaja berpeleseran tanpa tujuan. Gadis-gadis terpedaya dijual-beli seperti barangan, gara-gara maksiat dan kemungkaran yang dibiarkan beroperasi sepanjang malam. Alangkah pilunya, gadis yang dipelihara bapa dan ibu dengan penuh kasih sayang, diperdaya dan dilarikan bajingan, lalu dijual di pasaran pelacuran, sedangkan sedikit yang melakukan kerja terkutuk ini, jika disabitkan kesalahan sekalipun, hanya sekadar didenda beberapa ribu ringgit sahaja atau dipenjarakan untuk seketika jua? Mereka yang terlibat di dalam pembunuhan kehidupan ini, seharusnya, dipenjarakan seumur hidup dan dirampas harta bendanya, kerana jenayah yang mereka lakukan itu.

Justeru tempat berhibur dibiarkan menjadi sarang maksiat dan pelacur, jenayah makin bertambah ganas dan berang. Jangan nanti negara ini kehilangan aman dan tenteram yang indah dan mengasyikkan, jika jenayah dibiarkan berleluasa dengan galakan maksiat dan kemungkaran yang memusnahkan.

Wanita Islam mesti tampil ke hadapan mempengaruhi badan perundangan supaya meluluskan undang-undang lebih keras terhadap mereka yang melakukan kerosakan. Golongan perosak adalah zalim. Mereka perlu dikenakan hukuman setimpal dengan kemusnahan yang dilakukan.

3 responses to “Wanita Tidak Boleh Berjaya? Episod II

  1. Berikut adalah tulisan Dato’ Nakhaie Ahmad dalam Berita Harian bertarikh 16 Julai 2004 di halaman 12)

    Broker politik gugat perjuangan Umno

    Dulu saya menyertai pemilihan kepemimpinan Umno pada peringkat bahagian secara tidak serius. Saya dicalonkan cawangan dan menanti saat pemilihan tanpa berbuat apa-apa. Sekali saya menang dan menjadi ahli jawatankuasa bahagian dengan cara itu.

    Kali kedua, saya menyertai pemilihan dengan cara berlainan. Nama saya dimasukkan dalam senarai kumpulan yang akan bertanding. Mereka menjemput saya menghadiri satu perhimpunan. Mereka meminta saya membayar sejumlah wang. Saya mendiamkan diri dan ketika berucap dalam perjumpaan itu, saya mengecam politik wang.

    Mereka mengeluarkan saya daripada senarai kumpulan dan bertanding solo. Saya tidak terpilih. Sejak itu saya tidak berminat menyertai pemilihan Umno pada peringkat bahagian.

    Dalam pemilihan kali ini, saya dicalonkan untuk merebut jawatan timbalan ketua. Penyertaan saya kali ini dalam rangka membuat kajian untuk membentuk kerangka dakwah pembangunan bertema `Dakwah Pemangkin Pembangunan Negara’ (Model Pembangunan Luar Bandar).

    Kajian masih pada peringkat pemerhatian. Tetapi oleh kerana rancangan penyelidikan itu amat bergantung kepada kaedah pemerhatian aktif saya berada di Baling beberapa kali menerusi program Takaful Berkelompok.

    Kajian saya selanjutnya menyentuh kepemimpinan politik, khususnya Umno dan fenomena berpolitik dikalangan ahli Umno. Saya perlu menyertai pertandingan memilih kepemimpinan untuk melakukan pengamatan aktif bagi memahami fenomena berpolitik secara lebih mendalam.

    Pada mulanya, saya berhasrat menyertai pertandingan merebut jawatan ketua bahagian. Tetapi kerana hasrat itu diketahui lebih awal, semua langkah pencalonan disekat. Tidak ada cawangan yang bersedia memberi laluan.

    Saya berusaha mendapatkan pencalonan timbalan ketua bahagian. Ini pun dilakukan pada saat akhir setelah berpuluh-puluh bahagian mengadakan mesyuarat. Saya bernasib baik kerana timbalan ketua bahagian tidak mengetahui hasrat saya. Apabila ada cawangan yang mencalonkan saya secara mendadak, tiada mana-mana pihak yang dapat menghalang.

    Usaha mendapatkan pencalonan itu dibuat menerusi pertolongan beberapa teman di bahagian yang lebih memahami perjalanan politik di sana. Saya terpaksa mengeluarkan sedikit belanja untuk mereka bergerak. Saya menyerahkan belanja kepada teman itu dan tidak tahu bagaimana ia digunakan. Dengan usaha itu saya layak menyertai pertandingan.

    Saya berada di Baling 10 hari menjelang pemilihan pada 10 Julai lalu. Pelan pemerhatian telah disiapkan terlebih dulu supaya dapat bergerak mengikut rancangan pemerhatian yang diperlukan. Di bawah ini adalah penemuan yang saya peroleh.

    Wujud broker politik yang bergiat cergas sewaktu pemilihan Umno bahagian. Mereka menawarkan khidmat untuk bekerja bagi memastikan kemenangan seseorang calon. Mereka berkerja untuk sesiapa saja yang mampu atau sanggup memberi wang.

    Broker ini mungkin bertindak sebagai talam dua muka dan makan keliling. Kerja mereka termasuk melakukan pembunuhan karektor, menyogok wang dan apa saja yang boleh memberi kemenangan kepada calon yang sanggup membayar kepada mereka sejumlah wang yang lumayan.

    Pertandingan mengikut kumpulan masih diteruskan. Senarai setiap kumpulan daripada ketua hingga ahli jawatankuasa diedarkan. Kebanyakan yang menang dalam pemilihan kepemimpinan Umno Bahagian Baling adalah mereka yang tersenarai dalam kumpulan yang menang. Hanya beberapa orang daripada kumpulan yang kalah berjaya dipilih.

    Amalan politik wang dalam Umno bukan hanya sogokan calon yang bertanding, tetapi juga kutu-kutu politik yang mengambil peluang untuk meminta wang daripada calon. Mereka tidak semestinya perwakilan ke mesyuarat agung tetapi mengaku sebagai perwakilan.

    Calon yang tidak memiliki senarai lengkap perwakilan dan tidak mengenali mereka pasti akan terpedaya. Mereka juga datang memohon bantuan untuk pelbagai tujuan dan mengaku diri mereka sebagai anggota perwakilan.

    Selama 10 hari di bahagian, saya berpeluang mengunjungi banyak rumah ketua cawangan. Tidak banyak calon yang membuat kunjungan ini, termasuk calon yang melawan saya. Mereka menyambut baik kedatangan saya. Ada di antara mereka yang saya kunjungi tiada di rumah. Mereka datang menemui saya dan menyatakan rasa terkilan kerana ketiadaannya di rumah ketika kunjungan saya. Mereka nampaknya mengenali dan menghormati saya. Banyak pihak menyatakan sokongan kepada saya, termasuk Wanita dan mengharapkan saya dapat melakukan sesuatu untuk membetulkan hala tuju Umno Bahagian.

    Tetapi dengan sokongan yang menggalakkan itu saya tetap kalah. Saya tidak mahu membuat spekulasi dan ulasan mengenainya kerana tidak tahu puncanya.

    Inilah kali pertama saya menyertai pemilihan Umno Bahagian secara serius dan banyak perkara yang dapat diperhatikan dalam realiti politik Umno. Jika dalam tulisan lalu, saya menyebut mengenai kerapuhan Umno, melalui pengalaman yang saya peroleh, saya yakin bahawa Umno dari segi cita-cita perjuangannya yang asal untuk agama, bangsa dan negara, sudah berkubur.

    Umno sekarang sudah tiada perjuangan lagi, melainkan sebagai wadah untuk mendapat kedudukan dan kuasa. Perjuangan dalam Umno adalah semata-mata sebagai kegiatan pelaburan yang menanti keuntungan dalam bentuk kedudukan dan kuasa.

    Saya hairan mengapa ahli Umno sanggup berbelanja ribuan ringgit semata-mata untuk terpilih menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur setiap kali ada pemilihan kepimpinan peringkat Pusat. Belanja yang dikeluarkan itu sebenarnya pelaburan. Jika terpilih menjadi anggota perwakilan, mereka bakal mendapat pulangan lumayan.

    Sewaktu Team Wawasan dulu, saya difahamkan perwakilan mendapat keuntungan sangat lumayan daripada pelaburan mereka. Pemimpin atasan Umno ketika itu berbelanja besar untuk merebut jawatan penting dalam Umno. Apa yang terjadi ialah negara hampir tergadai kerana kuasa luar akibat politik wang yang rakus itu.

    Pepatah Cina mengatakan bahawa ikan yang busuk, bermula dari kepalanya. Apabila kepala mula busuk dan mata tidak jernih lagi, bahagian yang lain daripada ikan itu turut busuk. Apabila ikan menjadi busuk, sukar untuk dipulih kembali.

    Begitulah yang akan terjadi kepada parti politik dan negara. Apabila berlaku kepincangan kepemimpinan yang tidak dapat diperbaiki lagi, ia hanya menanti saat untuk digantikan dengan kumpulan lain yang lebih berdisiplin dan teratur pekerjaannya.

    Sejarah manusia membuktikan perkara ini. Pelbagai bangsa di dunia ini bangkit dan membina tamadun mereka di sesuatu tempat di bumi ini, tetapi akhirnya lenyap dari sejarah. Muncul bangsa lain di tempat lain atau di tempat sama. Bangsa itu membangun tamadun baru yang gagah.

    .

    Apakah pemimpin Umno mampu membendung kepincangan dan elemen keruntuhan yang melanda parti Melayu terbesar ini sebagai bursa saham bagi meraih keuntungan kebendaan, mampu berbuat sesuatu untuk memperbaiki kepincangan yang berlaku dan membendung elemen keruntuhan yang melanda Umno.

    • Saya menyampaikan mesej kepada umno secara ikhlas. Tak pula orang umno kotok saya, maki hamun saya atau mengkafir saya dan mendesak supaya saya dipecat daripada umno. Jika saya tulis semacam ini mengenai pas semasa saya dalam pas, mungkin saya dikafirkan atau disingkirkan. Mungkin! wallahuaklam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s