IDEA BESAR YANG MENGUASAI DUNIA

Ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran bukanlah suatu set ideologi atau sistem perundangan terperinci yang memperincikan setiap kesalahan dan hukuman bagi setiap kesalahan itu. Ia bukan juga sistem ekonomi, politik dan sosial yang terperinci bagi membina dan menggerakkan kemakmuran ekonomi, kestabilan politik dan sosial untuk setiap zaman dan tempat. Ajaran al-Quran ialah hidayah dan cahaya yang menggerakkan potensi kemanusiaan yakni akal, naluri dan anggota manusia, dan memberi petunjuk kepada potensi tersebut, untuk bertindak secara dinamik dengan realiti dan persekitaran hidupnya. Dinamika yang dicetuskan daripada interaksi petunjuk wahyu dengan potensi kemanusiaan itu, membuahkan pemikiran agung yang menjadi asas kepada kelahiran sistem-sistem kehidupan yang mencorak peradaban Islam.

Interaksi antara bimbingan wahyu potensi kemanusiaan dan alam, telah mencetus pemikiran umat Islam awalan, yang meletakkan dunia sebagai ladang untuk akhirat. Manusia adalah hamba Allah dan khalifah di bumi. Pemikiran ini melahirkan gerakan Al-Fath, atau gerakan pembukaan iaitu suatu gerakan penaklukan yang bertujuan menegakkan tauhid dan membanteras syirik. Pemikiran dan gerakan agung ini, telah meletakkan acuan kepada tamadun baru dunia.

Tamadun baru dunia yang diasaskan kepada tauhid dan peranan manusia sebagai hamba Allah dan khalifah di bumi, telah berjaya membawa paradigma baru di dalam ilmu pengetahuan, sosio-politik, budaya, ekonomi dan lain-lain serta mempengaruhi masyarakat manusia yang beragama Islam dan tidak beragama Islam.

Pemikiran yang dicetuskan daripada interaksi wahyu, potensi manusia dan alam, yang mendasari tamadun Islam mengalami zaman kepudarannya. Ia tidak lagi mapan mendukung peradaban yang dinamik dan progresif. Zaman kebekuan yang melanda dunia Islam, melenyapkan pertumbuhan pemikiran-pemikiran agung yang mampu meneruskan dokongan ke atas tamadun Islam. Dominan tamadun dan pemikiran Islam kian pudar dan akhirnya terlucut mahkota keagungannya.

Zaman kebangkitan di Eropah telah melahirkan ahli-ahli fikir yang berjaya mencetuskan pemikiran agung yang mencorakkan peradaban moden di Eropah. Antara pemikiran-pemikiran agung zaman kebangkitan Eropah ialah pemikiran demokrasi yang berteraskan kepada teori kontrak sosial, di mana susunan sosial dibentuk daripada nilai-nilai persamaan, kebebasan dan persaudaraan.

Kebebasan yang dicapai di dalam lapangan penyelidikan saintifik, telah mencetuskan revolusi pertanian dan perindustrian yang menuntut para pengusaha supaya diberi kebebasan dalam pergerakan modal dan harga agar ditentukan oleh pasaran. Akhirnya saranan para pengusaha ini, mencetuskan pemikiran yang membentuk sistem ekonomi kapitalis yang menguasai susunan tatacara dunia.

Kepincangan sistem kapitalis, terutama terhadap kaum pekerja telah melahirkan satu lagi pemikiran agung. Pemikiran ini menggagaskan peranan penting ekonomi dan faktor pengeluaran di dalam menggerakkan potensi kemanusiaan untuk perubahan dan pembangunan.

Ia juga menekankan tentang kepentingan kaum pekerja dalam proses pembangunan kelas dan kemestian kelas ini mendapat faedah daripadanya. Proses pertarungan antara kelas borguois dengan kelas pekerja akan berakhir dengan kemenangan kaum pekerja yang berkesudahan dengan kelahiran masyarakat tanpa kelas.

Pemikiran agung ini telah membentuk sistem sosialis dan menguasai negara-negara blok Timur dan sebahagian besar negara-negara di Asia dan Afrika di abad ke dua puluh.

Kekalahan blok Timur dan kehancuran sistem sosialisme telah meletakkan sistem kapitalis dalam kedudukannya yang dominan. Dominasi sistem kapitalis di dalam gagasan baru tatacara dunia telah menggerakkannya ke hadapan dengan keinginan dan hasratnya yang baru yang menuntut lebih banyak kebebasan untuknya. Ia bergerak ke arah penguasaan sistem kapitalis tanpa saingan yang diberi nama baru iaitu globalisasi.

Globalisasi menganjurkan kebebasan pergerakan modal dan pasaran terbuka yang luas. Anjuran ini dilakukan bersama dengan perkembangan teknologi maklumat yang mewujudkan suasana bebas di dalam memperolehi maklumat. Serentak dengan itu, globalisasi juga semestinya akan memberi kebebasan di dalam pergerakan manusia dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Tetapi unsur globalisasi yang terakhir ini pastinya tidak dikehendaki oleh negara-negara kaya, justeru kemakmurannya akan dikongsi bersama oleh penduduk dari negara-negara miskin.

Perkembangan tamadun dunia menunjukkan, penguasaan halatuju dan acuan yang mencorak kehidupan manusia, tidak hanya ditentukan oleh adanya suatu agama atau ajaran suci. Jika ada orang yang berfikir bahawa kebenaran agama Islam yang diwahyukan daripada Allah sudah cukup untuk menjamin penguasaan dan kemenangannya, fikiran itu adalah silap.

Tanpa kelahiran pemikiran agung yang dicetuskan daripada interaksi, ajaran wahyu, potensi kemanusiaan dan alam, yang mampu mempengaruhi kehidupan masyarakarat dunia, peradaban Islam akan terus berada di tahap defensif. Kemenangan Islam yang dinanti-nanti tidak muncul dan slogan bahawa “masa hadapan untuk Islam” atau “Islam adalah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi manusia” hanya tinggal sebagai slogan yang tidak mempunyai asas untuk diterjemahkan ke dalam kenyataan.

Pemikiran yang didokong oleh harakah Islamiah, masih berada di dalam keadaan bercelaru dan sukar diterima sebagai pemikiran agung yang mampu menyaingi pemikiran kapitalisma dan pengaruhnya di dalam melahirkan era globalisasi.

Bahkan elemen extremism yang mempengaruhi gerakan Islam kontemperari memberi isyarat bahawa gerakan Islam sedang berhadapan dengan gejala kekecewaan dan ketandusan pemikiran.

Perhitungan bahawa sifir yang sentiasa memihak kepada kapitalisma tetap akan memberi kemenangan kepada Islam dengan pertolongan Allah, adalah berlawanan dengan sunnah Allah. Perjalanan hukum Allah s.w.t menetapkan bahawa cahaya petunjuk Allah s.w.t terpancar menerusi usaha dan ikhtiar manusia. Walaupun usaha dan ikhtiar itu tidak menyekat kehendak Allah s.w.t. yang mutlak yang bebas memberi petunjuk kepada sesiapa yang Dia sukai.

Dasar ekonomi baru adalah contoh idea besar di peringkat nasional yang berjaya membuat perubahan kepada masyarakat Malaysia. Pelaksanaannya, telah mebawa perubahan besar kepada masyarakat Islam di negara ini. Daripada masyarakat tani yang miskin, mereka muncul sebagai masyarakat Islam moden yang tetap berpegang kepada agama.

Pencapaian besar Malaysia dari segi pembangunan Islam ialah kejayaannya mengadunkan kurikulum pendidikannya antara pengetahuan moden dan agama. Agama tetap dijunjung di dalam usaha mencapai kemajuan yang digerakkan oleh proses pemodenan. Usaha bagi menwujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika dengan warganegaranya teguh menghayati nilai-nilai agama, tetap menjadi tunggak kepada proses pemodenan yang dilakukan. Ketika mula melangkah kaki menuju wawasan 2020, perkara ini dilihat sebagai suatu cabaran penting bagi membangunkan Negara Malaysia sebagai negara maju mengikut acuan sendiri.

Apabila Malaysia diisytiharkan sebagai sebuah Negara Islam, pengisytiharan itu bukan dibuat di dalam suatu kerangka kosong. Kenegaraan Islam yang dimiliki oleh Malaysia telah dapat dibuktikan dengan jelas dari aspek ilmiah. Banyak daripada tuntutan Islam telah dipenuhi. Walaupun hukuk hudud yang menjadi sebahagian daripada hukum jenayah Islam belum dilaksanakan.

Pengisytiharan negara ini sebagai Negara Islam yang didokong oleh idea besar yang berkesan sahaja yang mampu menterjemahkan cita-cita pembangunan Islam ke dalam realiti. Sebaliknya idea-idea remeh yang dilontarkan atas nama perjuangan Islam akan merosakkan perjuangan Islam itu sendiri. Apa lagi idea remeh itu pula bercampur aduk dengan kecenderungan bertindak ganas dan bersikap melampau.

Kini formula Malaysia bagi membangun sebuah negara Islam moden, mula diketengahkan di peringkat antarabangsa. Tetapi penampilannya bukan sekadar diayah dan promosi semata-mata. Kini terdapat ratusan jurutera, saintis dan pengurus Malaysia yang sedang meneroka pembangunan di negara-negara seperti Sudan. Negara Lubnan bukan sahaja tertarik kepada formula Malaysia, untuk membina kembali negaranya yang runtuh akibat perang saudara. Tetapi turut mendapat pinjaman yang berjumlah ribuan juta ringgit dari Malaysia.

Beginilah Islam seharusnya, diperjuangkan. Kedaulatan Islam sebenar bukan daripada kepandaian mencipta slogan dan retorik. Kemenangan dan kejayaannnya adalah hasil idea besar yang mendokong usaha dan jihad berterusan untuk mencapai ketinggian.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s