Mitos di Sebalik Penutupan Aurat

Salah satu daripada kejayaan dakwah di negara kita ialah kejayaan membudayakan pakaian menutup aurat di kalangan kaum wanita. Wanita di Malaysia tidak terkongkong dengan tradisi warisan zaman keruntuhan. Umumnya mereka tetap bersopan di tempat kerja dengan pakaian menutup aurat dan bertambanhnya kesedaran untuk menghayati Islam. Namun, sebagai sebuah negara yang terdedah kepada perkembangan dunia, sebahagian wanita Islam di negara ini turut terlibat di dalam kebejatan sosial dan terpengaruh dengan elemen keruntuhan sosial yang umumnya dimaklumi semua pihak.

Kepincangan sebahagian mereka tidak pula mencemari imej baik kebanyakan wanita islam di negara ini yang menerima percikan pengaruh dakwah Islam. Pakaian menutup aurat di kalangan wanita Islam di negara ini dibawa ke mana-mana walaupun ketika melancong ke luar negara termasuk ke negara-negara Barat. Iltizam wanita Islam di negara ini terhadap budaya berpakaian menutup aurat sungguh membanggakan.

Tetapi di sebalik kebanggan itu, berkembang pula beberapa sikap negatif yang berupa ketaksuban terhadap pakaian menutup aurat wanita. Apa yang saya maksudkan ialah menutup aurat itu menjadi ukuran nilai kebaikan seseorang itu hanya terletak kepada pakaiannya yang menutup aurat dan tiada kebaikan langsung bagi mereka yang tidak menutup aurat. Suami juga dianggap jahat dan tidak Islamik sekiranya isterinya tidak menutup aurat.

Kebaikan dan keburukan seseorang dipusatkan kepada pakaiannya sama ada menutup aurat atau tidak. Seorang pemimpin dianggap tidak Islamik apabila isterinya berpakaian mendedahkan aurat sama seperti tanggapan bahawa berjubah dan berserban itu ukuran bagi kewarakan dan kealiman. Individu ini dipandang alim dan dipelawa mengimamkan solat berjemaah walaupun bercelaru tajwidnya ketika membaca al-Fatihah. Sebaliknya, seseorang mungkin dipandang tidak warak sekiranya tidak berpakaian sebegitu.

Mitos seperti ini perlu ditangani supaya sesuatu kejayaan yang dicapai tidak dimusnahkan oleh virus fanatisme dan nilai-nilai lain seperti itu yang berkembang menjadi elemen keruntuhan. Meskipun virus ini tidak kelihatan dengan nyata namun ia membawa penyakit berbahaya. Nilai-nilai kebaikan dan keburukan diletakkan di tempat yang salah dan manusia tertipu dengan imej tanpa substance.

Bagi menangani perkara ini, kita harus kembali kepada akidah Islam mengenai pengukuran Allah s.w.t. mengenai kebaikan dan kejahatan hamba-Nya untuk menentukan tempatnya di syurga atau neraka. Allah s.w.t memiliki mizan (neraca) yang menimbang kebaikan dan keburukan yang dilakukan oleh seseorang hamba. Kebaikan dan keburukan ditimbang dengan saksama. Keputusan sebagai baik yang layak ke syurga dan ke neraka dibuat dengan penuh rahmat dan belas kasihan sehingga jika berlaku kebaikan dan keburukan, sama berat timbangannya, ada syafaat yang membelanya sehingga seorang hamba yang Muslim itu dimasukkan ke syurga. Jika akidah ini dihayati dalam membuat pertimbangan mengenai kebaikan dan kejahatan  seseorang Muslim, tentulah pertimbangan berdasarkan fanatisme itu, dapat dielakkan.

Begitu juga jika kisah Nabi Nuh a.s. yang dibentangkan dengan jelas di dalam al-Quran mengenai dosa dan kelakuan isterinya yang sedikitpun tidak menjejaskan ketinggian martabat Nabi Nuh a.s., tentulah kesalahan seseorang tidak dipikulkan ke atas bahu seorang lain walaupun di kalangan orang yang mempunyai hubungan keluarga. Melainkan ada bukti yang jelas bahawa ia bersubahat melakukan kesalahan itu. Namun, kesalahan itu tidak boleh dilihat dan ditimbang secara berasingan tanpa mengambil kira kebaikan yang dilakukannya sepanjang hayatnya atau sepanjang khidmatnya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s