Apakah perkara yang hendak didakwah?

Bahan yang hendak didakwahkan adalah Islam, yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang terkandung di dalam Al- Quran dan Sunnah Rasulnya.  Untuk menyampaikan Islam kepada manusia kita mestilah terlebih dahulu mengetahui tentang ajaran Islam itu.

Untuk mengenali Islam kita dapat melihatnya dari pelbagai sudut.  Dari sudut hubungan manusia dengan Allah s.w.t. Islam ialah agama yang mengajak dan memberi bimbingan kepada manusia supaya tunduk, menyerah diri dan patuh sepenuhnya kepada Allah s.w.t.

Dari segi peraturan dan susunan kehidupan, Islam ialah sistem dan peraturan serta hukum yang lengkap bagi urusan kehidupan dan etika kelakuan manusia yang dibawa oleh Nabi Muhamad s.a.w dari Tuhan untuk disampaikan kepada manusia.

Dilihat dari segi sudut yagn lain, Islam merupakan kumpulan hukum-hakam yang berkaitan dengan akidah, akhlak, ibadat, muamalat dan ikhtibar dan berita-berita gembira serta peringatan-peringatan yang terkandung di dalam Al-Quran dan Sunnah yang di perintah oleh Allah supaya disampaikan kepada manusia.

Islam boleh dilihat dari pelbagai sudut untuk mengenalinya, secara am.  Tujuan ia dilihat dari pelbagai sudut ini, untuk membantu para pendakwah menerangkan apakah Islam itu, kepada yang ingin mengenali Islam, supaya pengenalan yang disampaikan itu sesuai dengan keadaan dan minda sasaran dakwah.  Mungkin ia boleh dilihat dari sudut yang lain lagi, asalkan pengenalan yang diberi itu menepati kandungan dan ajaran Islam yang terdapat di dalam Al-Quran dan Sunnah.

Sebagai contoh, orang bertanya kepada Rasulullah s.a.w , Apakah Islam?  Nabi s.a.w menjawab, “Islam ialah bahawa kamu bersyahadah, dengan pengakuan bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah dan kamu mendirikan sembahyang, menunaikan, zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji  di Baitullah  jika kamu mampu mengerjakannya.”

Di dalam hadis ini, Nabi Muhamad s.a.w memberi pengenalan mengenai Islam dari sudut kerangka asasnya, yang merangkumi rukun-rukun Islam.  Pengenalan ini, tidak melibatkan pemahaman yang mendalam tentang Islam sesuai dengan keadaan masyarakat di peringkat awal perkembangan Islam. Sekali gus, jawapan itu adalah jawapan yang praktis yakni, mengandungi perkara-perkara yang boleh dilaksanakan  untuk menjadikan seseorang itu muslim.

Tinggalkan komen