Neraca Baik dan Buruk

Sepanjang perjalanan terdahulu, anda mengharungi alam pemikiran dan kejiwaan untuk membina kehendak membersihkan tauhid dari ranjau syirik dan berakhir dengan taubat, sehingga anda bersih dan bebas dari kesalahan dan kesilapan zaman lampau. Kini anda memulakan langkah amali.  Langkah melaksanakan tanggungjwab yang bersifat praktikal.  Di samping terus berusaha mempertahankan pencapaian di lapangan kepercayaan, kejiwaan dan pemikiran.

Seperti yang disebutkan sebelum ini, bahawa langkah melaksanakan tanggungjawab yang dituntut di dalam syahadah adalah langkah sepanjang hidup.  Tidak mungkin semua tanggungjawab itu dilakukan sekali gus.  Lagipun ada di antara tanggungjawab itu, merupakan fardhu ain yang menjadi kewajipan individu dan ada yang merupakan fardhu kifayah yang menjadi  kewajipan kolektif.

Perjalanan amali menuju ke jalan Allah s.w.t diteruskan dengan mengerjakan ibadah.  Untuk mengamalkan ibadah dengan lancar, anda harus memahami terlebih dahulu apakah yang dikatakan ibadah itu?

Ibadah secara umumnya ialah melakukan kebaikan kerana Allah s.w.t di dalam hubungan dengan Allah s.w.t, dengan sesama manusia dan dengan alam sebagaimana  yang disuruh di dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Allah s.w.t berfirman:

Ertinya:       Dan berbuat baiklah sebagaimana Allah s.w.t berbuat baik kepada kamu dan janganlah kamu menyimpan keinginan untuk melakukan kerosakan di bumi.  Sesungguhnya Allah s.w.t tidak suka kepada orang yang melakukan kerosakan.

Di sini anda berhadapan dengan suatu persoalan yang penting.  Apakah ukuran dan neraca yang menentukan sesuatu baik dan tidak baik?

Ukuran yang menentukan kebaikan dan keburukan di dalam Islam ialah bersumberkan Allah s.w.t.  Apa yang disuruh Allah s.w.t adalah baik, apa yang dilarang oleh Allah s.w.t adalah tidak baik.  Anda melakukan sesuatu yang baik, jika anda mengerjakan yang disuruh Allah s.w.t.  Begitu juga anda melakukan kebaikan jika meninggalkan larangan Allah s.w.t.  Sebaliknya anda melakukan perkara tidak baik, jika anda membuat perkara yang dilarang Allah s.w.t.

Jadi ukuran dan neraca kebaikan dan keburukan, di dalam ajaran Islam tidak bersifat nisbi.  Perbuatan yang baik dan yang buruk tidak nisbi.  Begitu juga dengan akhlak yang baik dan akhlak yang buruk.  Bukan daripada ajaran Islam jika anda berkata apa yang rasa baik, itu adalah baik bagi saya.  Jika orang lain menganggap apa yang saya rasa baik itu, tidak baik, maka tidak baiklah untuk dia.  Kebaikan dan keburukan, bukan seperti itu.  Berlaku adil adalah baik.  Tidak wajar dikatakan berlaku adil itu baik bagi segolongan manusia dan tidak baik bagi segolongan yang lain.  Bagitu juga kebersihan adalah baik.  Tidak boleh dikatakan kebersihan itu baik bagi anda tidak baik bagi orang lain.  Kepincangan akan berlaku di dalam kehidupan ini, jika nilai kebaikan dan keburukan ditentukan oleh manusia, kerana nilai-nilai dan ukurannya menjadi nisbi atau relatif.

Nilai baik dan buruk itu di dalam ajaran Islam suatu yang mantap.  Prinsipnya dijelaskan di dalam Al-Quran.  Model kebaikan itu dapat dilihat dengan nyata di dalam keperibadian dan kehidupan Rasulullah s.a.w yang menghayati sepenuhnya ajaran Allah s.w.t yang diwahyukan kepadanya iaitu Al-Quran.  Allah swt berfirman:

Ertinya:       Sesungguhnya untuk kamu, di dalam keperibadian Rasullullah s.a.w itu teladan yang baik.

Berasaskan nilai kebaikan dan keburukan itu, maka setiap perbuatan baik yang anda lakukan kerana Allah s.w.t adalah ibadah.  Demikian juga dengan meninggalkan yang tidak baik adalah juga ibadah.  Ibadah mengandungi kebaikan yang dilakukan dalam hubungan anda dengan Allah s.w.t dengan sesama manusia dan alam di sekeliling anda.  Ia juga mengandungi perbuatan meninggalkan yang dilarang (kejahatan) dalam hubungan anda dengan Allah s.w.t dengan sesama manusia dan alam.

Dengan berjihad meghayati ibadah dan memenuhi tuntutannya, anda memasuki gerbang perjalanan menuju Allah s.w.t dan sedang mengisi erti perhambaan diri kepadanya.  Namun ruang untuk anda meningkat ke tahap lebih tinggi tetap terbuka.  Anda boleh terus melonjak ke atas, di dalam meningkatkan kualiti kemanusiaan dan kehambaan diri kepada Allah s.w.t.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s