JATIDIRI @ PEKERJA DAKWAH

Seorang petugas yang menganggotai sesebuah organisasi Islam dan terlibat dalam menjayakan visi dan misinya, mestilah memiliki jatidiri dan sahsiah sebagai seorang Islam. Bahkan, jatidiri itu perlu dimiliki oleh umat keseluruhannya bagi mengembalikan kegemilangan umat Islam dan membina kembali peradabannya.

Jatidiri mengikut Kamus Dewan ialah sifat atau ciri yang unik dan istimewa dari segi adat, bahasa, budaya, agama dan sebagainya yang menjadi teras dan lambang keperibadian seseorang individu, sesuatu bangsa dan sebagainya. Pembentukan jatidiri seseorang dan sesuatu bangsa itu, dipengaruhi pertamanya, oleh pandangan hidup atau world view yang dimiliki oleh bangsa itu, pegangan hidupnya, agama dan budaya yang diamalkan dalam masyarakat serta perkembangan sejarah yang dihadapi oleh bangsa itu dan perubahan-perubahannya. Semua ini, mempengaruhi pembentukan sahsiah dan jatidiri seseorang dan sesuatu bangsa.

Untuk membezakan apa yang dimiliki oleh individu dan sesuatu bangsa dalam perkara-perkara yang disebutkan itu, saya suka membezakan antara istilah sahsiah dan jatidiri. Untuk individu, saya menggunakan istilah sahsiah iaitu sifat-sifat istimewa yang dimiliki oleh individu berbanding dengan individu yang lain. Istilah jatidiri pula digunakan untuk sesuatu bangsa, yakni sifat-sifat istimewa yang terdapat pada satu-satu bangsa berbanding dengan bangsa yang lain. Di sini kita dapati terdapat pandangan hidup, pegangan hidup, perilaku tertentu yang dimiliki oleh sesuatu bangsa yang dikongsi bersama oleh setiap individu di kalangan bangsa itu. Sifat-sifat penting yang membina jatidiri sesuatu bangsa itu, antaranya ialah:

• Sifat-sifat yang berkaitan dengan akidah dan ibadat

• Sifat-sifat yang berkaitan dengan hubungan sosial

• Sifat-sifat yang berkaitan dengan akhlak dan tingkah-laku

• Sifat-sifat yang berkaitan dengan emosi, umapamanya perasaan takut, gembira dan sebagainya

• Sifat-sifat yang berkaitan dengan minda dan pengetahuan

• Sifat-sifat yang berkaitan dengan kerja dan etika kerja. Secara amnya, jatidiri sesuatu kelompok masyarakat atau bangsa itu dapat dilihat dari kerangka akidah dan pemikiran, kerangka spiritual dan moral dan daripada kerangka sistem kehidupan, adat dan budaya yang diamalkan dalam masyarakat sesuatu bangsa.

Sebagai orang Islam, pekerja dan petugas Islam, mestilah memiliki jatidiri sebagai muslim. Setiap individu yang menjadi sel kepada pembentukan jatidiri umat Islam itu, mestilah mempunyai ciri-ciri sahsiah Islamiah. Daripada individu-individu yang memilki sahsiah Islamiah inilah maka terbentuk jatidiri organisasi atau umat yang melahirkan suasana kondusif untuk bergerak maju dan mencapai keharmonian dalam pekerjaan dan dalam hubungan sosial. Suasana harmoni, stabil dan mempunyai suasana bekerja yang kondusif adalah syarat bagi peningkatan produktiviti dan penambahan kualiti sesuatu produk. Keadaan di mana ia mendorong kepada kemajuan dan kejayaan.

Setiap pekerja dan petugas Islam itu ialah, pertamanya, ia adalah seorang mukmin. Seorang mukmin itu mempunyai sifat-sifat dan ciri-ciri sahsiah yang berkaitan dengan akidah dan keyakinan, ibadah, hubungan kemasyarakatan, akhlak, emosi, pemikiran dan pengetahuan, kehidupan amalinya dan sifat-sifat serta perwatakan anggotanya.

1. Sifat-sifat yang berkaitan dengan akidah ialah keimanan kepada Allah s.w.t yakni mempercayai Rukun-rukun iman dan memiliki keyakinan terhadap hari akhirat, hari kebangkitan, hari manusia dihisab segala perbuatannya, mempercayai syurga, neraka, alam ghaib dan sebagainya.

2. Sifat yang berkaitan dengan ibadah, kita dapati bahawa seorang pekerja dan petugas yang beriman itu seorang yang mengerjakan ibadat sembahayang yang wajib dengan sempurna, mengerjakan puasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat, sekurang-kurangnya zakat fitrah, mengerjakan haji, berjihad ke jalan Allah s.w.t. dengan harta dan diri, mentaati Allah s.w.t. dan banyak mengamalkan zikir, beristighfar, bertawakal kepada Allah s.w.t. dan membaca al-Quran.

3. Sifat yang berkaitan dengan hubungan sosial yakni yang berkaitan dengan pergaulan sesama manusia dengan baik, bersifat pemurah,berkerjasama, perihatin, melakukan amal makruf dan mencegah kemunkaran, banyak memaafkan dan sebagainya.

4.  Sifat-sifat yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan seperti ta’at kepada dua ibu bapa dan berbuat baik kepada keduanya, hubungan baik dan rapat dengan kaum keluarga, hubungan baik dengan isteri atau suami dan anak-anak, menjaga nafqah dan memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak.

5. Sifat-sifat yang berkaitan dengan akhlak dan tingkah-laku, seperti sabar, berlemah-lembut, benar, adil, amanah, memelihara janji, merendah diri, tegas berpegang kepada kebenaran, kuat keazaman dan mengurus hawa nafsu dengan berkesan.

6. Sifat-sifat yang berkaitan dengan emosi seperti  mencintai Allah s.w.t. takut kepada azab Allah s.w.t. mengharapkan rahmat dan keampunan Allah s.w.t. kasihan-belas terhadap manusia, tiada hasad dengki kepada orang lain, menahan diri ketika marah dan sebagainya.

7. Sifat-sifat yang berkaitan dengan pemikiran dan pengetahuan seperti berfikir tentang kejadian alam dan penciptaan Allah s.w.t.  bersemangat untuk menuntut ilmu dan mendapatkan pengetahuan, tidak bergantung kepada zhan dalam membuat sesuatu kesimpulan, sebaliknya, sentiasa mempastikan hakikat sesuatu perkara, bebas berfikir dan mencari kebenaran.

8. Sifat-sifat yang berkaitan dengan kehidupan amali seperti ikhlas di dalam melakukan sesuatu pekerjaan, berbuat sesuatu dengan itqan yakni cemerlang, berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi mendapatkan rereki yang halal dan bersungguh dalam memajukan kerjaya.

9. Sifat-sifat yang berkaitan dengan jasmani seperti sihat, kuat bersih dan berpakaian kemas dan rapi.

Bersambung…

2 responses to “JATIDIRI @ PEKERJA DAKWAH

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s