1MALAYSIA DAN PERJUANGAN MEMPERTAHANKAN ISLAM

Isu yang timbul rentetan daripada konsep 1 Malaysia yang diketengahkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6azia dan persoalan mengenai hubungan Melayu dan Islam dalam perjuangan umat Islam harus dianalisa sama ada kedua-duanya saling berkait atau terpisah. Di samping meneliti fungsi yang dimainkan oleh fitrah kebangsaan dalam perjuangan menegakkan Islam dan membela umatnya. Adakah ia benar-benar terlaksana atau sekadar laungan untuk meraih perhatian masyarakat?

Hasrat untuk membina bangsa Malaysia yang bersatu dan maju adalah hasrat seluruh masyarakat walaupun usaha untuk merealisasikannya ternyata sukar, bersimpang-siur dan berliku-liku. Bentuk dan acuannya telah ditafsirkan dalam bentuk yang berbeza oleh pelbagai pihak. Perjuangan menelusuri parti-parti politik untuk menjayakan cita-cita tersebut, kian rapuh. Retak berlaku di sana sini dan sebahagiannya menanti belah. Parti-parti politik serpihan sering muncul dan  menjadikan induknya, sumbing. Rakyat makin keliru dan bingung dengan gelagat yang diracuni oleh politik kebencian. Di samping itu, kepimpinan politik dilihat semakin kerdil daya kebijaksanaannya. Keputusan-keputusan politik sering membawa kesan sampingan yang menggugat keutuhan dan mencabar nasib masa depan negara bangsa yang sedang dibangunkan.

Satu persoalan yang timbul di sini ialah mengapa kita harus membiarkan parti-parti politik tersebut berkelakuan nanar dengan mendamba kuasa sesuka hati sehingga menjadikan masa hadapan negara seumpama barang gadaian yang tidak mudah ditebus kembali jika terlepas ke tangan orang. Mengapa kita harus membisu dan membiarkan sahaja suasana perjuangan untuk masa hadapan agama dan bangsa digamatkan oleh hiruk-pikuk politikus yang pepat di luar rencong di dalam, telunjuk lurus kelingking berkait? Mengapa kita harus membiarkan diri menjadi penonton yang pasif dan bagaikan kerengga menghurung pauh menantinya masak, akhirnya jatuh bersama pauh ke bumi dan mati dihempap buah yang ditunggunya sehingga ranum itu.

Masa untuk kita berdiam diri sudah lama berlalu. Setiap individu mesti prihatin dan peka kepada perkembangan sekeliling yang mendambakan perubahan. Setiap warga masyarakat seharusnya tampil ke hadapan bagi menyelamatkan situasi ini, memperbetulkan kepincangan dan mencegah bahaya yang sedang melanda. Kewujudan Majlis Amal Islami Malaysia yang menyatukan seluruh NGO Islam di Malaysia mungkin boleh menjadi wadah yang sesuai bagi menyalur suara dan menggerakkan kembali nada perjuangan  yang kian sepi. Segalanya bergantung kepada kita. Kita mahu MAIM secara jelas menjadi apa dan ke mana arah dan hala tujunya. Langkah penyatuan telah dilaksanakan dengan hasrat memperjuangkan agama biar berdaulat. Hakikatnya, kita sedang mengharung lautan bergelora, merentasi kawasan berbukit bukau, melalui belantara yang berkeliaran binatang buas. Kita bukan sahaja harus tabah, tetapi harus berhati-hati dan bijaksana mengatur langkah.

Usaha untuk mempastikan suara kebenaran menjadi lebih lantang daripada suara perkelahian dan permusuhan untuk merebut kuasa harus dilaksanakan. Kita mesti berusaha mempastikan bahawa suara keadilan lebih nyaring daripada tempik sorak untuk menegakkan benang basah dan seribu satu tipu muslihat dalam percaturan politik tidak bermaruah dan tidak beretika. Pembersihan perjuangan bangsa daripada percaturan yang mengajak umat berkelahi dan berbalah sesama sendiri harus dilakukan.

Untuk menyuarakan kebenaran dan menegakkan keadilan, kita tidak seharusnya membiarkan diri menjadi burung tiong. Bersuara mengikut kehendak orang lain yang terlebih dahulu mengatur dan menyusun apa yang hendak dikata dan apa yang hendak diulas apabila ditanya. Ketika berlaku sesuatu peristiwa atau muncul kenyataan mengenai sesuatu dasar dan perancangan dari pembesar negara, kita sudah tahu apa ulasan dan komentar di akhbar-akahbar pada keesokan harinya. Penuh puji dan puja, semuanya betul belaka dan diisytiharkan sebagai gagasan yang dicetuskan akal bijaksana yang tiada tolak bandingnya. Di pihak yang lain, tiada yang baik yang dihasilkan negara ini, sejak merdeka, semuanya jelek belaka. Apa yang telah dan sedang dilakukan semuanya tidak berguna.

Sebagai pejuang kebenaran dan keadilan, kitalah orang pertama yang seharusnya berusaha mencari kebenaran dan berpegang kepadanya. Kitalah orang pertama yang seharusnya bersikap adil dan tegas dalam menegakkan keadilan. Sebagaimana pemerintah yang kita bernaung di bawah pemerintahannya mesti berlaku adil kepada setiap rakyat, rakyat juga perlu berlaku adil kepada pemerintah. Keadilan adalah kewajipan semua. Setiap orang dan setiap pihak mesti berlaku adil dan menjalankan keadilan di dalam apa jua perkara dan untuk semua, walaupun terhadap musuh.

Kita masih kabur dengan konsep satu Malaysia yang dilontarkan ke tengah masyarakat sebagai dasar negara oleh pemimpin nombor satu di negara kita. Sebagai rakyat, kita mesti membincangkannya, mengkaji secara objektif dan meneliti yang tersurat dan tersirat sehingga kita memahaminya. Apa lagi Satu Malaysia dikemukakan dalam bentuk retorik politik yang tidak dijelaskan dengan sempurna konsep, rancangan serta pelan tindakannya. Hanya tiba-tiba kita diseret ke dalam agenda liberalisasi ekonomi, yang kita juga tidak diberikan penjelasan mengenainya. Kita ingin tahu apakah bezanya satu Malaysia dengan Malayan Union atau Malaysian Malaysia atau apakah maksud lain sama ada yang tersurat dan yang tersirat. Kita mahu kepada penjelasan ini semua dan pihak kerajaan perlu memberikan penjelasan yang terperinci apakah konsep dan perancangannya untuk diteliti oleh rakyat. Kalau maksudnya hanya untuk mengulangi dasar-dasar sedia ada yang dilontarkan hanya sebagai istilah dan slogan baru, kita mungkin hanya disuapkan dengan pemikiran basi yang menjanjikan perubahan yang tidak kesampaian. Untuk perubahan kita memerlukan pelan tindakan yang diikuti dengan pelaksanaan tegas dan berkesan.

Perbincangan dan penelitian dapat memberikan pelbagai kemungkinan dan gambaran mengenainya, daripada pelbagai sudut yang pastinya akan membuka mata kita dan meluaskan perspektif kita berdasarkan kemungkinan-kemungkinan itu. Dengan memahami pelbagai kemungkinan kita boleh membuat persiapan yang perlu untuk bertindak sama ada menyokong atau menentangnya tanpa dipengaruhi sentimen melulu dan tidak menjadi hanya sebagai burung tiong yang dibela dan diberi makan oleh parti pemerintah atau parti pembangkang.

Satu lagi isu adalah mengenai hubungan Melayu dan Islam dalam konteks masyarakat majmuk di negara ini.Apakah perjuangan kemelayuan itu dalam konteks masyarakat di negara ini bertentangan dengan Islam jika dilihat dari segi konsep kemelayuan dan aplikasinya dalam pembentukan masyarakat Islam di negara ini terutama jika dilihat dari aspek kepentingan strategi bagi membina kekuatan Islam dan memelihara kepentingan  umatnya.

Di dalam Perlembagaan negara, istilah bangsa Melayu tidak diukur daripada darah keturunan. Ukuran utama ialah agama dan budaya. Apakah agenda pembentukan rupa bangsa dalam acuan yang ditetapkan dalam perlembagaan itu berlawanan dengan Islam. Adakah Islam menolak sama sekali agenda penyatuan bangsa sebagai elemen kekuatan fitrah yang mendokongnya, di samping kekuatan akidah, keimanan dan ketakwaan yang terpancar daripada ajarannya. Mengapa pelbagai bangsa dan budaya di Asia Barat dan Afrika diasimilasikan sebagai bangsa Arab yang menjadi pendokong agama Islam sejak dahulu. Bangsa-bangsa di kawasan itu yang belum sempat diasimilasikan sebagai bangsa Arab, membentuk kelompok Islam mawalli dan kekal sebagai orang-orang Parsi dan Turki yang akhirnya mencetuskan perpecahan. Faktor mawalli menjadi salah satu faktor perpecahan dan  punca krisis politik kerajaan Abbasiah yang membawa kejatuhannya dan juga antara penyumbang kepada kejatuhan tamadun Islam. Kesan bangsa Turki tidak diarabkan, muncul kelompok Arab yang dihasut penjajah dengan konsep nasionalisme tajaan Barat, bangkit menentang Khalifah Islam Uthmaniah dan menghancurkannya. Manakah pilihan terbaik bagi orang-orang Cina dan India yang beragama Islam diasimilasikan sebagai bangsa Melayu pendokong utama agama Islam di negara ini atau kekal dalam etnik asal yang membentuk golongan mawalli yang terasing, tersingkir serta terpisah daripada majoriti umat Islam dalam masyarakat majmuk di negara ini?

Keperluan kepada penyatuan bangsa dalam acuan yang sesuai dengan Islam seharusnya dilihat daripada kehendak dan keperluan strategis bagi menguatkan barisan Islam dan memperkasakannya sebagai pendokong Islam, terutama dalam masyarakat majmuk yang terdapat di dalamnya pelbagai agama dan budaya. Apa lagi Islam berhadapan dengan ancaman kuasa-kuasa luar yang bercita-cita memusnahkannya.

Perjuangan untuk mempertahankan Islam itu memang tidak akan terhenti walau bagaimana sekalipun situasi yang dihadapi. Justeru, ungkapan puisi ini adalah untuk mengingatkan  para pejuang kebenaran dan keadilan serta para da’i yang semakin berkurangan dan suara mereka makin sepi dalam hiruk pikuk manusia mencari kepuasan diri dan mabuk kekuasaan tanpa menghiraukan amanah dan kewajipan.

Serangkai mutiara madah pujangga
dalam sejambak bunga bahasa,
tersusunan indah warna dalam lukisan makna
tidak terungkap hikmah kebesaran Ilahi
yang terpancar dari rahsia ciptaan langit dan bumi
yang terserlah dalam  rangkap-rangkap suci Qurani,
Hikmah manusiawi yang kita miliki
hanya seceduk air dari lautan tidak bertepi
sejauh mana pun rasional insani berpesta dalam diri
hanya sekadar kerdip lilin menerangi malam sepi
Bila manusia merasa dirinya secerah mentari
menerangi buana kehidupan duniawi tanpa misteri
rahsia segalanya terbongkar tanpa petunjuk Ilahi
kerana manusia punya sakti dan upaya diri
Tika rasional  berbicara dalam khayalan
mampu ukir wajah real dalam kejadian
di alam maya berkeliaran  pesan memesan
teknologi canggih menghubung dunia tanpa sempadan
syaitan terlepas dari ikatan dan maksiat berkeliaran
lalu bumi mengaduh kesakitan
dan bencana mengaung meluah kemurkaan
kerana  perlakuan manusia  menginkari Tuhan
dan asyik berpesta dalam mabuk kekuasaan
amanah diketepikan, kebijaksanaan dihumban
hanya kepentingan sendiri jadi keutamaan
ke mana  kita  di masa hadapan
dan kiamat hanya sepekan lagi akan memuntah kemusnahan.

Diterbitkan dalam Milenia Muslim keluaran Jun 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s