Ulama Tersepit di Gelanggang Politik

Diterbitkan dalam majalah Milenia Muslim Oktober 2009

Krisis politik di Perak, kini telah reda, walaupun belum boleh dikatakan selesai. Ketegangan politik antara pemerintah dan pembangkang, barangkali tidak mungkin selesai, melainkan jika kedua belah pihak bersetuju bergabung dan sama-sama berkongsi kuasa dalam sebuah kerajaan perpaduan.

Pembentukan kerajaan perpaduan antara PAS dan UMNO pernah disuarakan tetapi tidak dapat diteruskan. Ada sahaja masalah yang timbul untuk merealisasikan cadangan itu. Banyak perkara yang perlu dipersiapkan sebelum sesuatu cadangan itu dapat dilaksanakan. Tanpa persiapan, cadangan hanya tinggal cadangan. Mungkin juga cadangan yang dikemukakan itu hanya untuk mengetahui reaksi pihak yang lain.

Mereka yang bijak berpolitik, selalunya membuat respon kepada cadangan pihak lawan dengan berhati-hati. Politik merupakan kenyataan dan amalan yang terdedah kepada pelbagai tafsiran, kerana mengandungi banyak spekulasi, persepsi dan manipulasi untuk melemahkan pihak lawan.  Adakah spekulasi, persepsi dan manipulasi itu sesuatu yang kotor atau tidak bermoral, tidak pernah wujud dalam pertimbangan orang politik? Sama ada politik yang berjenama Islam atau kebangsaan dan fahaman ideologi seperti komunis atau sosialis.

Milenia Muslim, baru-baru ini telah menyiarkan cerita SS Tan Seri Haji Harusani Zakaria, Mufti Negeri Perak  mengenai apa yang berlaku di sebalik krisis politik di Perak dan peranan beliau untuk menyatukan PAS dan UMNO bagi penubuhan kerajaan yang stabil di negeri itu dengan orang-orang Islam menerajuinya. Beliau menyeberang sempadan Perak ke Kelantan dan kemudiannya ke Terengganu untuk menemui pemimpin tertinggi PAS, iaitu YAB Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang. Beliau bukan ahli politik dan jawapan yang diberikan oleh kedua pemimpin itu dilihatnya begitu positif. Tetapi hakikat sebenarnya, beliau dipermainkan oleh kedua-dua pemimpin teresebut dengan menyerahkan bola untuk ditendang oleh Haji Ahmad Awang, Pesuruhjaya PAS Perak.

Bagi orang yang tidak berpengalaman politik seperti Tan Sri, kata-kata dua pucuk pimpinan PAS itu sangat dipercayainya. Apa lagi kedua-duanya adalah Tok Guru. Dalam masyarakat Melayu, Tok Guru adalah pemegang amanah agama. Mereka orang yang lurus, tidak berdusta dan jujur dalam sebarang tindakan dan percakapan. Tetapi Tan Sri tidak sedar bahawa gelaran Tok Guru itu adalah pemberian politik dan kedua-duanya adalah pemimpin politik. Mereka bukan ilmuwan atau pemimpin ilmuwan yang beriltizam dengan kaedah-kaedah ilmu. Mereka juga bukan pendakwah yang beriltizam dengan kaedah-kaedah dakwah. Mereka orang politik dan bersilat mengikut rentak dan gendang politik. Serban dan jubah orang-orang politik, tidak melambangkan kelurusan, dan perkataan yang diucapkan menepati maksud yang tersurat.

Kecewalah Tan Sri, apabila Pesuruhjaya PAS Perak menolak cadangan beliau supaya UMNO dan PAS sama-sama membentuk kerajaan yang dikuasai sepenuhnya oleh orang-orang Melayu beragama Islam di Perak. Cubalah fikir, kalau kedua-dua pucuk pimpinan PAS yang tertinggi telah menerima cadangan itu, adakah munasabah Pesuruhjaya PAS boleh menolaknya. Di sinilah Tan Sri telah dipermainkan oleh orang-orang politik.

Mungkinlah dalam fikiran Tan Sri, orang yang bergelar Tok Guru, berserban dan berjubah, menghiasi setiap ucapan dengan ayat al-Quran dan hadis, boleh dipegang cakap mereka. Mereka tentulah takut berdosa dan seram dengan balasan Allah s.w.t. di akhirat.

Tan Sri! Sebenarnya orang-orang politik ada pelbagai alasan untuk membenarkan tindakan mereka atau memperbetulkan kata-kata mereka yang salah. Bahkan mereka juga mempunyai banyak cara dan kaedah untuk meletakkan kesalahan yang mereka lakukan ke atas bahu musuh-musuh mereka. Lihat sahajalah jawapan Ustaz Ahmad Awang, Pesuruhjaya PAS kepada pertanyaan mengenai usaha Tan Sri yang sebenarnya cukup murni untuk kepentingan Islam dan umat Islam. Ada sahaja alasan beliau untuk menolak usaha tersebut dan melemparkan kesalahan kepada Tan Sri.

Bukankah penolakan PAS terhadap cadangan itu, mengikut alasan Ustaz Ahmad Awang, kerana terpengaruh dengan usaha Tan Sri yang berjalan ke merata masjid di Perak, menyatakan bahawa kemerdekaan 50 tahun negara, dipenuhi pelbagai angkara? Kerana itulah PAS tidak akan bekerjasama dengan penjarah yang membawa angkara iaitu UMNO. Beginilah caranya sepak terajang orang-orang politik. Golongan politik yang telah lama menjadi pembangkang, lebih bijak melakukan manipulasi berbanding dengan orang-orang politik yang memerintah. Mereka berusaha mengalahkan kerajaan dan menyedari kekauatan kerajaan sukar dikalahkan. Senjata utama pembangkang ialah menerusi manipulasi, memburukkan kerajaan, menghalang orang ramai menyokong dasar kerajaan, walaupun dasar-dasar itu adalah baik dan penting untuk masyarakat.

Sebenarnya di sebalik kegagalan usaha Tan Sri itu ada agenda politik PAS  yang lebih penting dan lebih diberikan keutamaan daripada perpaduan umat yang dicari oleh Tan Sri. Perpaduan hanya idealism yang tidak mudah dicapai. PAS ingin melaksana agenda yang lebih segera untuk diperolehinya. Tidak lain, mengalahkan UMNO dan merampas kekuasaan daripada parti asabiyyah, kafir, sekular dan penjarah yang mana para pengikutnya tidak masuk syurga. Hasil pilihanraya ke-12, menunjukkan saat yang dinanti oleh PAS selama ini telah hampir tiba. Persetankan UMNO, persetankan perpaduan. Kebencian terhadap UMNO yang ditanam selama ini hampir membawa hasilnya. UMNO akan hancur dan PAS akan berkuasa. Sekarang PAS sudah berkuasa di Kelantan dan Kedah. Pada hakikatnya PAS juga berkuasa di Perak. Menteri Besar daripada PAS adalah MB yang sebenarnya dan MB Barisan Nasional adalah MB makhkamah.

Inilah mentaliti yang menguasai pemimpin PAS dan para pengikut mereka. Perjuangan yang selama ini ditempuh dengan penuh getir, hampir mencapai kemenangan. Hanya tinggal beberapa langkah sahaja lagi. Kerjasama dengan UMNO pada saat ini adalah pengkhianatan belaka. Bahkan kerjasama dengan syaitan sekalipun harus dilaksanakan demi untuk menjamin kekalahan UMNO.

PAS tidak akan berjaya mencapai kedudukannya seperti sekarang ini, tanpa kerjasama dengan parti-parti bukan Islam. Tahaluf Siasi adalah kaedah yng digunakan oleh PAS sebagai mekanisma untuk bekerjasama dengan parti-parti bukan Islam, terutama DAP, seperti yang dinyatakan oleh Ahmad Awang. Tahaluf Siasi bukanlah konsep baru dalam PAS. Ia mula diperkenalkan sewaktu saya menjadi Naib Presiden PAS dalam tahun-tahun 80an. Salah satu klausa penting yang saya masih ingat bahawa pihak-pihak yang bersetuju menyertai Harakah Keadilan Rakyat, bersetuju menghormati perjuangan PAS menegakkan negara Islam. Pada masa itu, DAP tidak bersetuju menyertai pakatan itu. PAS kalah teruk dalam pilihanraya 1986. Saya dipersalahkan secara tipu muslihat oleh beberapa orang pemimpin PAS. Dalam Muktamar PAS di Terengganu selepas pilihanraya itu, cadangan dikemukakan oleh Pemuda PAS supaya kerjasama itu dibatalkan. Usul itu mendapat kemenangan tipis. Saya diberitahu ada penyelewengan dalam kiraan undi (wallahu a’alam) Kemenangan itu memberi erti bahawa dasar yang telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Agung telah ditolak. Dengan rasa penuh tanggungjawab, saya mengemukakan surat perletakan jawatan kepada Presiden ketika itu iaitu Tuan Haji Yusuf Rawa. Beliau mengikuti langkah yang telah saya ambil dan turut mengemukakan perletakan jawatan sebagai Presiden PAS.

Saya tidak tahu bentuk Tahaluf Siasi yang bagaimana, diamalkan oleh PAS sekarang sehingga DAP pun tertarik. Barangkali, dengan kemasukan ramai profesional dalam PAS, kini PAS menjadi makin liberal dan berpendirian terbuka. Dalam politik pelbagai pendirian boleh berubah, demi untuk mencapai matlamat. Berbeza ideologi tidak mengapa, asalkan matlamat terdekat berjaya dicapai. Matlamat terdekat PAS dan DAP adalah sama, iaitu untuk menghapuskan UMNO dan atas matlamat itu mereka kini boleh bekerjasama.

Bagi DAP menjatuhkan UMNO bermakna menjatuhkan kepimpinan Melayu. Tetapi bagi PAS menjatuhkan UMNO ialah menjatuhkan musuh tradisinya yang bermula sejak PAS ditubuhkan sehinggalah sekarang.

Dahulu, zaman Dr.Burhanudin, PAS bermusuh dengan UMNO kerana PAS tidak berpuas hati dengan UMNO yang bersetuju memberi kerakyatan kepada orang-orang Cina dan India yang datang ke negara ini setelah penjajah mengamalkan dasar pintu terbuka. PAS juga tidak bersetuju dengan bentuk kemerdekaan negara ini. PAS mahu Melayu menjadi rupa bangsa bagi rakyat di negara ini. Kemudian, di zaman Dato’ Asri, PAS bermusuh dengan UMNO kerana berbeza pendapat mengenai isu-isu orang Melayu dan agama Islam. Pada masa inilah isu takfir lancar dibicarakan. Apabila berlaku peristiwa 13 Mei 1969, PAS bersetuju bergabung  dengan UMNO dalam Barisan Nasional dan turut mendokong Dasar Ekonomi Baru yang dengan jelas bersifat pro Melayu. PAS kemudian mengambil pendirian keras terhadap UMNO setelah tersingkir daripada Barisan Nasional. Tidak perlu saya ulangi sikap keras PAS terhadap UMNO, sehingga melibatkan persoalan akidah. Persoalan politik dan akidah mula bercampur aduk dan seseorang boleh jadi murtad kerana berbeza fahaman politik.

PAS kini bersikap liberal. Tetapi sikap keras terhadap UMNO tidak berubah. Sesiapa yang menyokong UMNO tetap dianggap menyeleweng dari segi akidah.  Tetapi bekerjasama dengan DAP pula adalah atas alasan dakwah. PAS merasa cukup berjaya apabila Lim Guan Eng, membuat kenyataan bahawa ia akan melaksanakan dasar Umar Abdul Aziz dalam pemerintahan di Pulau Pinang. Kalau beliau begitu terpengaruh dengan Umar Abdul Aziz, mengapa beliau tidak menganut agama Umar Abdul Aziz? Jawapan orang-orang PAS, LGE perlu masa untuk berbuat demikian. Kemungkinan bahawa LGE bermain politik untuk mendapat sokongan PAS tidak pula perlu diketepikan. Dalam politik serba kemungkinan boleh berlaku. Sedang PAS berfikir untuk mengalahkan UMNO, DAP mungkin sedang berfikir bagaimana hendak mengalahkan orang-orang Melayu.

Saranan saya kepada Tan Sri Haji Harusani, berhati-hatilah untuk campur tangan dalam permusuhan yang terjadi antara PAS dan UMNO. Kaedah berpolitik tidak sama dengan kaedah berdakwah. Politik tetap setia dengan kaedah ”matlamat mengharuskan cara.” Jika kaedah ini tidak digunakan dalam politik, parti politik itu menjadi tidak relevan. Sebagai seorang Mufti, kaedah dakwah dan ilmiah menjadi kepastian. Jujur, bercakap benar dan takut kepada Allah. Tan Sri dipermainkan jika kaedah ini digunakan dalam politik semasa.

Bagaimanapun para ulama, intelektual dan masyarakat Melayu umumnya tidak boleh berdiam diri dengan peranan parti-parti politik Melayu sekarang. Mereka bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perpecahan orang-orang Melayu yang sudah sampai ke peringkat kritikal. Perpecahan politik ini sudut menyeret ke lapangan akidah. Perpecahan Sunni- Syiah juga bermula dengan perpecahan politik. Kemudian fanatisme telah menyeret akidah ke dalam perpecahan tersebut. Perpecahan itu menjadi punca kejatuhan Islam. Orang-orang Syiah memandang orang-orang Sunni lebih bahaya daripada orang-orang kafir. Begitu juga orang-orang sunni terhadap Syiah. Hari ini kita saksikan pembunuhan berlaku setiap hari antara Sunni dan Syiah di Iraq, Pakistan dan lain-lain. Akan berlakukah perkara yang sama di negara ini nanti apabila politik orang-orang Melayu menyeret akidah ke dalam politik secara mendalam. Sekarang sudah ternampak tanada-tanda orang PAS memandang UMNO lebih bahaya daripada komunis, ajaran ayah Pin dan orang-orang bukan Islam umumnya. UMNO juga memandang PAS memiankan peranan amat bahaya kepada orang-orang Melayu. Sama-samalah kita berfikir. Parti-parti politik sekarang memainkan peranan yang tidak serupa lagi dengan peranan parti-parti politik dahulu yang menyatukan orang-orang Melayu dan menggerakkan mereka berjuang untuk kemerdekaan negara.

ulama

Sumber dari harakatuna.wordpress.com

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s