HALA MANA PERJUANGAN ORANG MELAYU NI?

red and white

Para pemimpin, intelektual dan setiap individu Melayu, seharusnya, membuat renungan tajam ke arah diri sendiri dan bertanya ke arah manakah hala tuju perjuangan mereka.

Angka-angka kejayaan makin berkurangan dan angka-angka yang menunjukkan kepincangan makin bertambah. Dalam keadaan ini, wajah sebenar perjuangan orang-orang Melayu tidak kelihatan. Wajah tersebut telah dikaburi oleh pelbagai tindakan dan langkah yang membosankan, sehingga orang Melayu yang memiliki keinsafan dan kesedaran berada dalam keadaan terpinga-pinga.

Pencapaian dalam pemilikan kekayaan negara menurun daripada 20 peratus kepada 19.7 petarus. Tetapi jumlah kadar jenayah di kalangan masyarakat Melayu bertambah. Adakah secara kebetulan berlaku daripada 10,000 orang mak nyah, 80 peratus daripadanya terdiri daripada orang-orang Melayu. Adakah kelahiran semulajadi mereka terjadi sedemikian, atau ada kesan psikologi yang membentuk keadaan mereka demikian?

Harapan untuk orang Melayu berkecimpung aktif dalam lapangan perdagangan masih dalam keadaan “jauh panggang dari api.”  Lagi sekali, terulang pertanyaan orang-orang tua yang pernah merasa jerih perih perjuangan sebenar” hala mana perjuangan orang Melayu ini?

Orang Melayu masih memegang kuasa politik. Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak dan Tan Sri Mahyudin Yasin mendapat sokongan padu daripada orang-orang UMNO. Mereka bersatu memberi sokongan seperti yang dapat dibuktikan dalam proses pemilihan kepimpinan UMNO. Tetapi selesakah mereka menjadi kemudi kapal yang sedang bocor, walaupun seluruh anak kapal memberi sokongan dan kerjasama? Sebagai pemimpin orang-orang Melayu, selesakah mereka berada di tempat yang tinggi dalam keadaan masyarakat Melayu berhadapan dengan pelbagai ancaman kelemahan dan keruntuhan?

Belia-belia di kalangan orang Melayu berhadapan dengan masalah pekerjaan yang serius. Yang gagal di dalam pelajaran, sudah tentu. Yang lulus universiti juga banyak yang menganggur. Apakah masalah ini tidak dilihat sebagai masalah besar yang dihadapi oleh masyarakat Melayu?

Kemiskinan orang-orang Melayu, mungkin telah berkurangan di dalam bacaan statistik. Tetapi hakikatnya, orang Melayu masih belum keluar sepenuhnya dari jaringan kemiskinan. Di kampung-kampung, apabila orang-orang Melayu berhadapan dengan masalah pekerjaan, mereka dengan sendirinya terperangkap dalam jaringan kemiskinan. Rancangan pertanian bagi menampung pekerjaan masyarakat desa, hampir dikatakan gagal. Banyak tanah terbiar tidak diusahakan. Sawah padi kekeringan. Kebanyakan daripada mereka berhijrah ke bandar. Dengan pelajaran dan kemahiran yang terbatas, kehadiran mereka di bandar menambahkan statistik kemiskinan bandar.

UMNO yang menjadi wadah perjuangan orang-orang Melayu, sudah kehilangan idealisme perjuangan. Generasi pelapis tidak lancar lagi mengungkapkan perjuangan nasionalisme Melayu. Mereka lebih mementingkan karier politik diri masing-masing daripada mengutamakan cita-cita dan perjuangan UMNO.

Ada diantara golongan pelapis yang ditonjolkan oleh UMNO menawar harga untuk khidmat yang diberikan, padahal beliau diberi jawatan penting dalam kerajaan. Yang lain pula, sanggup berbelanja ratusan ribu untuk merebut jawatan di dalam UMNO. Adakah manusia berprinsip dan pejuang bangsa sanggup melakukan perkara tidak bermaruah seperti ini. Jika UMNO terus membiarkan manusia seperti ini memimpin, adakah lagi masa hadapan bagi perjuangan UMNO?

Sedang UMNO berhadapan dengan kemelutnya, PAS muncul sebagai perosak minda dengan menggunakan agama. Tafsiran mengenai agama dilakukan swenang-wenangnya untuk kepentingan politik. Islam dijadikan ideologi politik dan kuda tunggangan untuk menanamkan kebencian sesama orang Islam. Usaha mengembalikan kefahaman sebenar ajaran Islam menerusi kefahaman Islam Hadhari dipertikaikan dan cuba dijauhkan daripada orang Melayu, supaya Islam difahami hanya sebagai ritual.

Kegawatan yang berlaku di dalam masyarakat Melayu sekarang ini, tidak boleh dilihat dengan kaca mata kepartian. Ia mestilah dilihat dari kaca mata sebagai orang Melayu dan Islam. Jika kita melihat cabaran yang dihadapi oleh orang-orang Melayu sekarang ini, menerusi kepentingan politik kepartian, tentunya pandangan dan pendapat yang dikemukakan tidak akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi orang-orang Melaya keseluruhannya.

Masalah yang dihadapi oleh belia Melayu, masalah kebejatan sosial, masalah pekerjaan dan pengangguran, masalah parti-parti politik Melayu dan lain-lain, adalah masalah bersama orang Melayu yang perlu dihadapi mengatasi pendekatan yang bersifat kepartian.

Golongan yang sepatutnya berada di barisan haapan dalam menangani kemelut orang Melayu ialah kaum intelektual, ulama dan ilmuwan, yang sekarang ini jumlah mereka begitu besar. Tetapi, golongan ini pun mestilah bebas daripada berfikir secara kepartian terlebih dahulu sebelum mengambil tempat sebagai pemimpin perubahan masyarakat Melayu.

Saya mencadangkan supaya golongan ini yang mempunyai keinsafan, menganjurkan kongres para pemimpin dan intelektual Melayu bagi membincangkan permasaalahan Melayu secara keseluruhannya.

Dalam persidangan itu nanti, perlu dikaji kembali secara menyeluruh perjuangan orang-orang Melayu di abad ke-21 ini dan hala tujunya yang sebenar. Apakah wawasan dan harapan bangsa Melayu dalam menghadapi zaman-zaman mendatang?

Sejarah manusia membuktikan bahawa bangsa-bangsa yang tidak mampan menghadapi cabaran, tidak akan lama usianya. Bangsa Ad, Thamud, Firaun dan lain-lain yang mencipta nama di dunia, hilang tanpa disebut lagi. Bangsa-bangsa Eropah yang sedikit masa dahulu, bersaing menakluki negara-negara lain di Asia dan Afrika, seaperti Belanda, sudah jarang diperkatakan. Negara-negara Islam yang dahulunya ditakuti dan disegani, sekarang ini menjadi mangsa penindasan dan sasaran penaklukan.

Negara kita yang belum setengah abad mencapai kemerdekaan dan berjaya melonjak ke hadapan, akan terbantut di tengah jalan sekiranya elemen-elemen keruntuhan dibiarkan, tanpa dihadapi dengan tegas. Dalam puluhan tahun akan datang, Malaysia akan terus maju. Tetapi adakah orang Melayu akan terus maju ke hadapan bersama-sama dengan kemajuan negara Malaysia. Inilah persoalan yang perlu difikirkan secara serius oleh para pemimpin dan intelektual Melayu.

Para pemimpin dan intelektual Melayu perlu memahami apa yang sedang berlaku ke atas bangsanya. Mereka tidak seharusnya leka dalam perebutan jawatan dan lupa tanggungjawab mereka untuk menyelamatkan perjuangan bangsa Melayu.

Para ilmuwan, ulama dan intelektual Melayu mestilah tampil ke hadapan bagi menganalisa dan membuat diagnosis ke atas masyarakat Melayu secara mendalam bagi mengenal pasti masalah yang dihadapi. Bahkan berusaha mencari jalan penyelesaiannya. Kongeres yang dicadangkan, mungkin hanya permulaan. Lebih banyak usaha perlu dilakukan, supaya Melayu tidak hilang di dunia.

Mungkin, saya dianggap manusia pesimis dan melihat masa hadapan dengan penuh ketakutan dan kebimbangan. Apa pun anggapan terhadap saya, kerana mengemukakan pemikiran seumpama ini, sebagai seorang pengkaji sejarah dan tamadun, kebangkitan dan kejatuhan sesuatu bangsa dan tamadun itu, ada mempunyai sebab-sebabnya.

Perjalanan sejarah manusia, mengikut hukum dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam kejadian-Nya. Apabila sesuatu bangsa dan kaum menjurus ke arah kejatuhan, tanpa ada usaha-usaha di kalangan mereka membendungnya, bangsa itu akan runtuh secara beransur-ansur. Apabila usaha menghalangnya sudah terlewat, tidak ada apa-apa lagi yang boleh menghalang keruntuhan itu.

Peringatan yang diberikan ini dibuat supaya jangan terlewat. Kesedaran hendaklah ditanam di kalangan generasi muda supaya mereka mengambil alih perjuangan bangsa dengan penuh kesedaran. Mereka bukan hanya mewarisi wadah semata-mata. Tetapi mereka seharusnya mewarisi idealisme dan isi perjuangan serta cita-cita bangsa Melayu bagi menegakkan agama, mempertahankan maruah bangsa dan memajukan negara.

Apabila idealisme perjuangan di kalangan generasi muda sudah kabur, ia menjadi sebab kebimbangan. Wadah perjuangan bangsa hanya akan dijadikan batu loncatan sahaja, sekiranya yang diwarisi ialah jawatan dan penyokong yang diikat dengan wang ringgit, tetapi pewaris tidak lagi dapat menjelaskan erti perjuangan dan idealisme yang membentuk wadah itu semasa ditubuhkan.

Gejala kehilangan idealisme perjuangan dan kelemahan dalam menjelaskan erti perjuangan, sedang terjadi sekarang ini. Inilah yang menyebabkan kebimbangan ini disuarakan. Kebimbangan yang disuarakan ini tidak boleh dianggap pesimis yang keterlaluan. Ia adalah kebimbangan yang mendorong untuk membina kembali kekuatan dan mengambil langkah berjaga-jaga supaya perjuangan bangsa akan berterusan.

2 responses to “HALA MANA PERJUANGAN ORANG MELAYU NI?

  1. Suatu pandangan yang ikhlas dan jujur. Kadangkala prasangka orang lain terhadap apa yang kita suarakan menyebabkan majoriti akan melihatnya sebagai suatu ancaman. Hanya mereka yang betul-betul memahami dan menjiwai setiap pandangan boleh dijadikan sebagai asas untuk kita melonjak tinggi membina kekuatan ketamadunan.
    Sebab itu perlunya ada kebangkitan dan kekuatan yang selayaknya ditunjangi oleh pihak ke-3 setelah rejim politik atau parti-parti politik telah gagal menggalas amanah.
    Pihak ke-3 itu sudah tentunya mereka yang tidak ada kepentingan dalam mana-mana parti politik melainkan jiwa raganya hanya untuk memartabatkan agama, menjiwai perjuangan bangsa dan mengilhamkan sebuah negara yang terjulang tinggi.

  2. org melayu hanye pandai berbicara manis!!!!
    dan org melayu x senang tengok kaum nye maju kedepan…..x kn dengki hilang dalam perjuangan melayu…MELAYU MUDAH LUPE!!!!!!!!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s