Menganut Sesuatu Agama

Menganut sesuatu agama, tidak bermakna tanpa keimanan yang terpancar daripada keikhlasan. Sebab itu penerimaan terhadap agama, tidak boleh dilakukan secara paksa. Hanya apabila seseorang meyakini kebenaran agama tersebut, dengan apa cara yang munasabah untuk dirinya, dan menerima agama tersebut sebagai agamanya, maka ia dianggap penganut agama itu.

Sebab itu mana-mana agama yang benar, tidak boleh menarik manusia menerima agama itu menerusi manipulasi, putar-belit, sogokan dan sebagainya. Cara-cara kotor seperti ini, bukan cara yang diperakui oleh agama. Ini ialah kerana agama berjalan di atas landasan keikhlasan dan kebenaran. Jalan yang menyimpang daripada kebenaran dan keikhlasan bukan jalan agama. Agama hanya boleh dikembangkan menerusi dakwah. Kaedah dakwah yang utama ialah menerangkan secara jujur dan ikhlas ajaran-ajaran sesuatu agama dan menyerahkan kepada orang yang disampaikan dakwah tersebut, untuk membuat pilihan sama ada hendak menerima atau menolak agama yang didakwahkan kepadanya itu.

Apa ertinya agama, jika ia menjalankan sesuatu kerja keagamaan, sama seperti orang-orang politik menggunakan pelbagai cara kotor untuk mempengaruhi orang ramai menyokongnya untuk sesuatu kepentingan sementara? Agama merupakan anutan abadi. Ia bukan suatu pilihan untuk sementara waktu. Justeru, murtad tidak dibenarkan dalam agama. Bahkan apabila yakin kepada kebenaran sesuatu agama, ia mestilah berpegang kepada kebenaran itu selama-lamanya. Hanya apabila ia menyedari bahawa ajaran yang diyakini itu ternyata palsu dan jelas kepalsuannya, ia tidak seharusnya berada di dalam kepalsuan itu. Ia mesti mencari kebenaran, walaupun terlalu sukar.

Tidak akan terbuka jalan menuju kebenaran, menerusi jalan-jalan dan kaedah yang palsu. Agama yang benar tidak membawa apa jua kepalsuan dan kekotoran. Ia tidak akan menerima cara-cara kotor dan palsu untuk menarik pengikut dan menambahkan bilangan pengikutnya.

Jika kita memahami sifat-sifat agama yang benar dan petunjuknya ke arah kebenaran, kita akan melihat bahawa segala-gala yang terdapat di dalamnya adalah suci, ikhlas dan benar. Agama yang menggunakan kaedah jahat, manipulasi, menimbulkan kekeliruan terhadap sesuatu yang benar, bukanlah agama yang sebenar. Kemungkinan juga agama itu dipergunakan segelintir manusia untuk kepentingan mereka dan melaku-kan cara-cara kotor untuk tujuan yang bertentangan dengan ajaran agama itu sendiri.

Kemungkinan yang akhir ini, boleh berlaku daripada tuntutan sebahagian  orang-orang Kristian, untuk menggunakan perkataan Allah dalam menerangkan agama mereka. Perkataan Lord atau Tuhan dalam kitab-kitab injil hendak diterjemahkan dengan perkataan Allah. Yakni perkataan yang sama digunakan di dalam al-Quran dan kitab-kitab agama Islam. Beberapa persoalan keagamaan timbul daripada usaha yang dilakukan oleh orang-orang Kristian ini.

Pertama, apakah mereka tidak yakin kekuatan yang terdapat di dalam perkataan Lord atau Tuhan itu bagi menerangkan konsep ketuhanan di dalam ajaran agama mereka atau apakah perkataan Tuhan itu tidak mapan untuk menyampaikan mesej kitab injil  ke-pada manusia? Jika mereka percaya bahawa perkataan dalam kitab injil itu suatu kebenaran, sudah tentu ia mempunyai kekuatan untuk membawa mesej kitab Injil mengenai ketuhanan dan tidak lagi memerlukan perkataan yang lain untuk membawa mesej yang penting itu. Apa lagi untuk meminjamnya daripada agama lain.

Kedua, apakah usaha yang dilakukan untuk menggunakan perkataan Allah itu terpancar daripada jiwa yang ikhlas atau ia dilakukan untuk tujuan mengelirukan orang-orang Islam yang berpegang kepada konsep tauhid dalam kepercayaan ketuhanan. Dengan menggunakan perkataan Allah untuk menyampaikan mesej Kristian akan mengelirukan orang-orang Islam mengenai konsep ketuhanan antara tauhid dan triniti. Kekeliruan yang hendak diampungkan di pasaran dakwah keagamaan, bukannya cara yang dipegang oleh mana-mana agama yang benar. Ia adalah cara palsu yang tidak boleh membawa kepada kebenaran. Cara yang palsu ini akan hanya memberi petunjuk ke arah kepalsuan.

Ketiga, penggunaan perkataan Allah merujuk kepada keesaan Tuhan yang disembah dan tiada tuhan melainkan Dia. Dia adalah Zat yang satu. Pengertian inilah yang terkandung di dalam perkataan Allah, sejak daripada dahulu hingga sekarang. Jika dilihat penggunaan perkataan ini, di kalangan masyarakat sebelum kedatangan Nabi Muhammad pun, maka pengertian keesaan inilah yang dimaksudkan.

Tetapi triniti adalah pengertian yang berbeza daripada pengertian tauhid yang terkandung dalam perkataan Allah. Justeru, perkataan Allah tidak boleh digunakan untuk membawa konsep triniti. Ia membawa kekeliruan dan manipulasi untuk menerima triniti dengan menggunakan perkataan Allah. Pada hal, lazimnya tiriniti diungkapkan dengan perkataan Tuhan atau Lord. Perbuatan seumpama ini adalah suatu tindakan jahat dan palsu. Bolehkah agama yang benar melakukan tindakan palsu seperti ini?

Mungkin tuntutan mengharuskan penggunaan perkataan Allah oleh segelintir orang-orang Kristian ini, dilakukan berasaskan kepada kebebasan. Tetapi kebebasan yang tidak bersandarkan kebenaran dan moral yang mulia, adalah kejahatan. Kebebasan hanya menjadi mulia, jika didokong oleh kebenaran dan akhlak mulia yang tinggi. Tanpanya kebebasan menjahanamkan kehidupan.

Cara-cara eksplotasi keadaan tertentu yang terdesak untuk menarik orang kepada sesuatu agama, bukan daripada ajaran agama. Keadaan itu berpunca daripada tindakan sesuatu golongan memperalatkan agama untuk kepentingan sendiri. Umpamanya, mengeksploitasi keadaan kemiskinan penduduk-penduduk desa di Jawa dengan memberikan makanan dan bantuan pakaian dan bayarannya ialah menerima agama Kristian, bukanlah cara agama untuk menarik orang menerima agama itu. Cara agama ialah menerangkan ajaran agama itu dan memberi kebebasan kepada orang yang didakwahkan untuk menerima atau menolaknya.

Penyelewengan yang sering terjadi dalam ajaran-ajaran agama, berpunca daripada mengeksploitasi agama untuk kepentingan yang melebihi kehendak ajaran agama itu sendiri. Dengan bertindak keras dan di luar batasan ajaran agama itu sendiri, orang itu merasakan ia memberi sumbangan dan pengorbanan kepada agama. Yang sebenarnya, ia merosakkan ajaran agama dan menyimpang daripadanya. Agama yang ditokok tambah dengan imaginasi manusia ke dalamnya, kesudahannya menjadi agama yang palsu.